BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir mengetuai sekumpulan penganut Yahudi beribadat di atas kawasan Temple Mount pada Ahad sempena peringatan Tisha B’Av yang secara terang-terangan mencabuli status quo yang telah lama dipersetujui.
Tindakan provokatif itu mencetuskan kecaman keras daripada negara-negara Arab, termasuk Pihak Berkuasa Palestin, Jordan dan Arab Saudi yang menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa dan perjanjian antarabangsa.
Temple Mount, yang menempatkan Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock), merupakan kawasan paling sensitif di Timur Tengah. Menurut status quo yang dimeterai secara tidak rasmi antara Israel dan Jordan, orang Yahudi dibenarkan melawat kawasan itu tetapi dilarang sama sekali untuk beribadat di sana.
Namun, Ben Gvir, tokoh pelampau sayap kanan yang juga penyelia pasukan polis dengan lantang memimpin bacaan doa ‘Amida’ secara berjemaah di lokasi berkenaan sambil diiringi anggota keselamatan.
Menurut laporan media Israel, lebih 3,500 penganut Yahudi mengunjungi tapak itu sempena Tisha B’Av, satu jumlah tertinggi pernah dicatatkan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan balas cuba meredakan ketegangan dengan menegaskan bahawa dasar Israel dalam mengekalkan status quo di Temple Mount tidak berubah dan tidak akan berubah.
Namun tindakan Ben Gvir jelas bercanggah dengan kenyataan itu dan sekali lagi mencetuskan persoalan terhadap niat sebenar kerajaan pimpinan Netanyahu.
Jordan, yang bertanggungjawab mentadbir kawasan suci itu melalui badan Waqf Islam Baitulmaqdis, mengutuk keras tindakan Ben Gvir, menyifatkannya sebagai cubaan mencetuskan konflik agama dan mengapi-apikan sentimen ekstremisme Yahudi.
Arab Saudi pula menyatakan bahawa tindakan tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan hak umat Islam, manakala Pihak Berkuasa Palestin menyifatkannya sebagai pencerobohan yang disengajakan dan menyeru campur tangan komuniti antarabangsa.
Sementara itu, seorang lelaki Arab dilaporkan ditahan oleh polis Israel selepas menjerit ke arah kumpulan Ben Gvir. Sebelum ini, pihak berkuasa Israel lazimnya menahan penganut Yahudi yang cuba berdoa secara terbuka di kawasan itu.
Namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, polisi tersebut dilihat semakin longgar, terutamanya selepas Ben Gvir menyandang jawatan menteri. -AGENSI










