GUARUPUAVA: Polis Brazil kini menyiasat satu kes pelik membabitkan seorang wanita muda yang ditemui mati dengan 26 buah telefon pintar dilekatkan pada badannya, dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan barang seludup.
Mangsa, seorang wanita berusia 20 tahun, disahkan meninggal dunia pada 29 Julai lalu selepas mengalami serangan jantung secara mengejut ketika berada dalam sebuah bas yang berhenti di sebuah restoran di bandar Guarupuava, terletak di wilayah tengah negeri Paraná, Brazil.
Menurut laporan media tempatan, wanita berkenaan dipercayai mengalami gangguan pernafasan sebelum jantungnya terhenti manakala pasukan perubatan telah melakukan usaha menyelamat selama 45 minit namun gagal menyelamatkan nyawanya.
Hasil siasatan awal mendapati, sejumlah bungkusan mengandungi telefon bimbit dan minuman turut dijumpai dalam bagasi mangsa manakala pemeriksaan lanjut turut menemui 26 unit telefon pintar yang dilekatkan di badan mangsa dengan pita pelekat.
Pihak penyiasat kini mengemukakan teori baharu mangsa itu mungkin terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan elektronik, berdasarkan cara telefon bimbit itu disorokkan.
“Penemuan ini mengukuhkan lagi andaian bahawa mangsa sedang membawa barang seludup,” menurut laporan portal Mirror yang memetik kenyataan pihak berkuasa.
Mayat wanita itu telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik manakala semua barangan rampasan termasuk telefon bimbit telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Brazil untuk tindakan lanjut.
Tambah kenyataan itu lagi, mangsa dipercayai melakukan perjalanan seorang diri dari Foz do Iguaçu menuju ke São Paulo ketika kejadian.
Identiti wanita berkenaan masih belum didedahkan kerana siasatan masih dijalankan. —AGENSI










