OTTAWA: Kanada menegaskan semula larangan terhadap eksport ketenteraan yang boleh digunakan dalam konflik Gaza, sekali gus menolak dakwaan laporan bertarikh 29 Julai yang menyatakan senjata masih disalurkan ke Israel dari negara itu.
Menteri Luar Kanada, Anita Anand berkata, sejak Januari 2024, negara itu tidak meluluskan sebarang permit baharu bagi barangan terkawal yang boleh digunakan di Gaza.
“Tiada satu pun diluluskan. Kami menetapkan garis yang tegas dan akan terus berpegang dengannya.
“Kami turut mengambil langkah lebih jauh dengan membekukan semua permit sedia ada yang berkemungkinan membenarkan komponen ketenteraan digunakan di Gaza, dan permit tersebut masih digantung sehingga kini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, undang-undang Kanada dengan jelas melarang mana-mana syarikat daripada mengeksport barangan terkawal tanpa permit yang sah.
Katanya, pegawai kerajaan juga akan memastikan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang itu akan dikenakan tindakan, termasuk denda, rampasan dan pendakwaan jenayah.
“Kami tidak akan membenarkan senjata buatan Kanada menyumbang kepada konflik ini dalama apa juga bentuk,” katanya.
Selepas menyemak laporan 29 Julai lalu, Kementerian Luar Kanada menyifatkan dakwaan itu sebagai mengelirukan dan tidak menggambarkan fakta sebenar.
Menurut Anand, barangan yang dikenal pasti dalam laporan itu sebagai ‘peluru’ sebenarnya hanya projektil jenis paintball, yang turut disertakan dengan peralatan menghalang senjata api berfungsi menggunakan peluru sebenar.
“Barangan tersebut tidak digunakan dalam pertempuran, dan sekiranya ia ingin digunakan, permit khas diperlukan, namun ia tidak akan diluluskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tiada mortar dihantar dari mana-mana pengilang Kanada ke Israel, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sejak sebelum penggantungan permit dilaksanakan.
Laporan 29 Julai itu diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik daripada empat NGO — termasuk World Beyond War, Pergerakan Belia Palestin, Canadians for Justice and Peace in the Middle East, dan Independent Jewish Voices — memetik data Pihak Berkuasa Cukai Israel yang didakwa menunjukkan barangan Kanada dilabel sebagai komponen senjata dan peluru masih memasuki Israel.
Dalam sidang media di Ottawa pada Selasa, wakil Pergerakan Belia Palestin, Yara Shoufani, mendakwa penemuan itu menunjukkan bahawa Kanada masih memberikan sokongan material kepada Israel, meskipun kerajaan menafikannya secara terbuka.- ANADOLU











