SEMINAR Pelaksanaan Langkah Kecekapan Tenaga di Premis Kerajaan telah diadakan julung-julung kali bertujuan membuat hebahan dan penjelasan terperinci berkenaan Arahan Pelaksanaan Langkah Kecekapan Tenaga Tanpa Kos Di Premis Kerajaan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara pada 9 April 2025 lalu.
Seminar ini dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran tentang agenda peralihan tenaga serta penggunaan tenaga secara cekap dalam kalangan penjawat awam.
Bangunan kerajaan seperti kompleks pejabat, sekolah dan hospital merupakan antara penggunaan tenaga utama dalam sektor awam di Malaysia.
Secara purata, kerajaan persekutuan membelanjakan sehingga RM260 juta sebulan untuk bil utiliti elektrik. Sekiranya inisiatif kecekapan tenaga ini dilaksanakan di bangunan kerajaan secara menyeluruh, kerajaan boleh menjimatkan tiga hingga ke lima peratus daripada kos utiliti tersebut.
Justeru, seminar seumpama ini menyediakan medan perkongsian maklumat dan pengalaman mengenai pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di bangunan kerajaan seperti di hospital-hospital awam yang telah menunjukkan impak positif dari sudut kecekapan operasi dan kelestarian alam sekitar.
Antara langkah yang mudah dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang peruntukan tambahan adalah seperti menetapkan suhu penghawa dingin kepada sekurang-kurangnya 24 darjah Celcius di semua ruang pejabat dan bilik mesyuarat, memastikan lampu dan peralatan elektrik dimatikan apabila tidak digunakan serta mewujudkan amalan dan budaya penjimatan tenaga dalam kalangan warga kerja melalui hebahan dan kempen kesedaran dalaman.
Penggunaan tenaga yang cekap dan berhemah di bangunan kerajaan dapat menyumbang kepada penjimatan tenaga serta menurunkan perbelanjaan kos utiliti sektor awam, sekaligus menyokong aspirasi negara mencapai matlamat peralihan tenaga yang mampan dan pengurangan jejak karbon. – UTUSAN
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA
DAN TRANSFORMASI AIR










