SEOUL: Gambar seekor anjing kecil di dalam peti sejuk di sebuah restoran di Korea Selatan mencetuskan pertikaian mengenai kemungkinan kes penderaan haiwan.
Balai Polis Jungbu Busan menerima laporan sekitar pukul 8.10 malam pada Selasa lalu berhubung insiden tersebut, selepas seekor anjing dilihat berada dalam peti sejuk pintu kaca di restoran piza tempatan.
Bagaimanapun, pemilik anjing tampil menafikan dakwaan penderaan dan menjelaskan langkah itu diambil bagi mengelakkan cuaca panas melampau memburukkan lagi masalah jantung haiwan berkenaan.
Polis yang memeriksa lokasi kejadian berkata, suhu di dalam peti sejuk berkenaan tidak terlalu rendah, namun pihaknya masih menyiasat sama ada pemilik anjing itu melanggar Akta Perlindungan Haiwan.
Pemilik anjing berusia 60-an itu memberitahu media tempatan bahawa dia meletakjan anjing baka Maltese berusia 11 tahun tersebut ke dalam peti sejuk bagi mengelakkannya daripada mengalami kepanasan melampau.
Katanya, anjing yang dinamakan Cookie itu menjalani rawatan akibat masalah jantung akut, dan doktor haiwan memberitahu cuaca panas melampau boleh mengancam nyawa.
“Penghawa dingin di restoran rosak, jadi saya meletakkan kusyen di dalam peti sejuk dan menyuruh Cookie duduk di atasnya untuk jangka masa singkat,” katanya.
Dia berkata, anjing itu sudah seperti anak sendiri dan memohon maaf kerana meletakkan haiwan tersebut dalam peti sejuk yang turut mengandungi sos untuk pelanggan.
Anjing kecil seperti baka Maltese sememangnya cenderung mengalami kepanasan melampau disebabkan bulu putih panjang, yang mudah memerangkap haba dan menyukarkan pelepasan haba melalui peluh.
Suhu badan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan strok haba dan masalah kesihatan lain yang mengancam nyawa.- AGENSI









