Finland kuat kuasa larangan telefon bimbit dalam kelas

Finland kuat kuasa larangan telefon bimbit dalam kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HELSINKI: Pelajar di Finland bakal memulakan sesi persekolahan selepas cuti musim panas dengan peraturan baharu yang melarang penggunaan telefon bimbit di dalam kelas, selaras dengan undang-undang yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Negara Nordik yang selama ini terkenal dengan sistem pendidikan berkualiti tinggi, menyaksikan kedudukannya menurun dalam penarafan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi kemahiran pelajar berusia 15 tahun dalam matematik, sastera dan sains.

Pindaan kepada Akta Pendidikan Asas Finland yang diluluskan pada April 2025, menetapkan pelajar berumur antara 7 hingga 16 tahun dilarang menggunakan telefon bimbit semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penggunaan telefon bimbit bagaimanapun hanya dibenarkan dengan kebenaran guru bagi tujuan pembelajaran, bantuan khas atau sebab kesihatan.

Menurut laporan penyiar awam Finland, Yle, sekolah di bandar timur Varkaus akan mewajibkan kira-kira 700 orang pelajarnya menyimpan telefon mereka di dalam beg atau lokar sepanjang hari, termasuk waktu rehat.

Di bandar barat Tampere pula, pelajar hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit semasa waktu rehat tetapi mestilah di luar bangunan sekolah.

Agensi Pendidikan Nasional Finland turut menggesa agar peraturan yang lebih ketat dilaksanakan termasuk larangan penggunaan peranti semasa waktu makan dan had penggunaannya ketika waktu rehat.

Dalam penilaian OECD terkini bagi tahun 2022, sebanyak 41 peratus pelajar Finland melaporkan bahawa sumber digital mengganggu tumpuan mereka dalam kebanyakan kelas matematik. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding purata OECD iaitu 31 peratus. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN