GAZA: Sayap bersenjata kumpulan Hamas, Briged Izzudin Al-Qassam, menyiarkan satu rakaman video berdurasi seminit yang memaparkan seorang tebusan Israel dalam keadaan lemah dan kelihatan tidak bermaya, dipercayai dirakam di dalam sebuah terowong konkrit sempit di Gaza.
Video tersebut memaparkan seorang lelaki berjanggut dan berwajah cengkung, yang dikenal pasti media Israel dan agensi berita AFP sebagai Evyatar David, 24.
Bagaimanapun, AFP memaklumkan mereka tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman itu secara bebas.
David, yang menyambut ulang tahun ke-24 semasa dalam tahanan, diculik bersama rakannya, Gal Gilboa-Dalal, ketika menghadiri pesta muzik Nova yang diadakan berhampiran sempadan Gaza.
Serangan itu menyaksikan 44 pengunjung pesta diculik, manakala seramai 370 orang terbunuh.
Pada akhir Februari lalu, Hamas pernah menyiarkan video memperlihatkan David dan Gilboa-Dalal berada di dalam sebuah kenderaan sambil menyaksikan dari jauh upacara pembebasan tebusan oleh tentera Israel.
Setakat ini, daripada keseluruhan 251 tebusan yang diculik dalam serangan tersebut, sebanyak 49 orang masih dipercayai berada dalam tahanan di Gaza, termasuk 27 orang yang disahkan telah meninggal dunia oleh pihak tentera Israel.
Situasi kemanusiaan di Gaza terus meruncing apabila sekatan ketat oleh Israel terhadap kemasukan barangan dan bantuan menyebabkan krisis kekurangan makanan dan bekalan asas, sekali gus mencetuskan gesaan antarabangsa agar satu gencatan senjata segera dilaksanakan. – AGENSI










