Kampar paling panas, jualan air kelapa segar meningkat

Kampar paling panas, jualan air kelapa segar meningkat

AZMA Fazli Mohd. Ali di gerai menjual air kelapa miliknya di Kampar, Perak. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Cuaca panas yang mencecah suhu purata 32 hingga 37 darjah celsius di daerah Iini menyebabkan permintaan terhadap air kelapa muda segar juga meningkat mendadak.

Seorang penjual air kelapa muda di Malim Nawar di sini, Azma Fazli Mohd. Ali, 42, berkata, ramai pelanggannya membeli kelapa muda untuk menyegarkan badan ekoran cuaca panas sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini, sekitar 20 biji sehingga 30 biji kelapa muda terjual tetapi kini meningkat sehingga 100 peratus iaitu mampu mencapai 40 hingga 60 biji sehari terutama panas terik pada waktu tengah hari.

“Pelanggan tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India meminta air kelapa segar sebiji tanpa dicampurkan air gula dan ais untuk menghilangkan dahaga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, sebiji air kelapa dijualnya pada harga RM5.

Katanya lagi, permintaan air kelapa RM3 untuk satu plastik turut meningkat sekitar 50 peratus iaitu mencapai 60 bungkus berbanding 30 bungkus sebelum ini.

“Pelanggan akan memilih air kelapa untuk menyejuk dan menyegarkan badan kerana memang panas sebelum ini.

“Tidak mengira orang muda, tua atau kanak-kanak akan membelinya kerana badan cepat berpeluh dan haus sekarang,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Meteo­rologi Malaysia memaklumkan cuaca panas pada tahap satu atau berjaga-jaga dikenal pasti di tiga kawasan di Semenanjung serta sembilan lokasi di Sarawak.

Termasuk dalam kategori tersebut ialah Kampar dengan tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Tinjaun juga mendapati selepas beberapa hari daerah ini tidak hujan dengan cuaca panas dan kering, orang ramai mengambil tindakan mengurangkan aktiviti di luar rumah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×