PM Kanada kecewa dengan tarif baharu AS

PM Kanada kecewa dengan tarif baharu AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menaikkan lagi tarif ke atas barangan eksport Kanada.

Langkah itu dibuat selepas Trump memberi amaran akan ada akibat perdagangan terhadap Ottawa susulan pengumuman Carney yang merancang untuk mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.

Dalam satu perintah eksekutif, Trump menaikkan kadar tarif daripada 25 peratus kepada 35 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, sebahagian besar produk yang dilindungi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (CUSMA) yang ditandatangani pada 2020 kekal dikecualikan daripada kenaikan tarif ini.

“Kerajaan Kanada kecewa dengan tindakan ini,” kata Carney dalam satu kenyataan.

Perintah Trump itu turut menyebut kegagalan Kanada untuk bekerjasama membendung lambakan fentanyl dan dadah haram lain serta tindakan membalas dasar-dasar beliau sebagai punca keputusan tersebut.

Carney mempertahankan usaha Ottawa dalam membanteras fentanyl dan memperketat kawalan sempadan.

“Kanada hanya menyumbang satu peratus daripada jumlah import fentanyl ke AS dan kami sedang berusaha secara intensif untuk mengurangkan angka itu lagi,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kanada kekal komited kepada Perjanjian CUSMA.

“Pelaksanaan CUSMA oleh AS bermaksud purata kadar tarif AS terhadap barangan Kanada kekal antara yang terendah berbanding rakan dagang lain.

“Namun, sektor-sektor lain dalam ekonomi kami termasuk kayu balak, keluli, aluminium dan automotif sangat terkesan dengan duti dan tarif yang dikenakan oleh AS,” ujarnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN