TANAH MERAH: Sepasang kekasih ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan di Kampung Lawang di sini, malam tadi.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 8.30 malam oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) itu menahan seorang lelaki dan wanita berusia 35 tahun dan 44 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 6,000 biji pil yaba, 1.49 gram syabu, seunit telefon bimbit, wang tunai RM400 dan sebuah kereta Toyota Vios dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM135,625.
“Siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek lelaki itu juga pernah menjalani hukuman penjara antara 2010 hingga 2018 selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 32 ADB (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, suspek lelaki dipercayai aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah secara pukal sejak awal 2024.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952. Semua tangkapan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










