BUENOS AIRES: Seorang lelaki di Argentina memenangi kes saman terhadap syarikat teknologi gergasi, Google, selepas gambarnya tidak berpakaian di halaman rumah sendiri dimuat naik di platform Google, Street View, dan menjadi bahan jenaka penduduk tempatan.
Kejadian berlaku pada tahun 2017 apabila kereta milik Google Street View merakam gambar seorang lelaki tempatan yang sedang berada di kawasan rumahnya di Bragado, sebuah bandar kecil kira-kira 200 kilometer dari ibu negara Buenos Aires.
Walaupun wajah lelaki tersebut tidak kelihatan, gambar yang diambil dari arah belakang jelas menunjukkan bahagian belakang badannya dan lebih memburukkan keadaan, nombor alamat rumah yang tertera dalam rakaman menjadikannya mudah dikenali orang ramai.
Mangsa, yang tidak dinamakan atas faktor keselamatan, menyatakan beliau menjadi bahan ejekan di tempat kerja dan di kawasan kejiranan, hingga akhirnya mengambil keputusan untuk menyaman Google atas dakwaan menceroboh privasinya.
Pada peringkat awal, mahkamah rendah menolak saman tersebut dengan alasan lelaki itu sendiri bertanggungjawab kerana berada dalam keadaan tidak sesuai di halaman rumah, namun keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan Sivil Kebangsaan Buenos Aires yang memihak kepada plaintif.
Mahkamah menyatakan Google menceroboh ruang peribadi lelaki berkenaan dan menggugat maruahnya, manakala pihak pembelaan syarikat teknologi berhujah pagar kediaman mangsa terlalu rendah untuk melindungi privasinya.
Namun, siasatan mendapati pagar itu setinggi enam kaki dan mencukupi untuk menutup pandangan dari luar, sekali gus menolak hujah tersebut.
“Tiada sesiapa mahu dilihat oleh dunia dalam keadaan asal kejadian,” ujar mahkamah dalam keputusannya sambil menegaskan Google sepatutnya sedar akan tanggungjawab mereka melindungi privasi individu, sebagaimana dasar mereka yang menyamarkan wajah dan nombor pendaftaran kenderaan dalam Google Street View.
Dalam kes ini, kegagalan Google mengaburkan alamat rumah menjadikan identiti lelaki terbabit mudah dikesan.
Susulan keputusan itu, Google Argentina dan Google Inc. diperintahkan membayar pampasan sebanyak 16 juta peso Argentina (RM62,000) kepada plaintif sebagai ganti rugi terhadap maruah dan kehormatan dirinya.
Lelaki terbabit, yang merupakan seorang anggota polis, turut mendedahkan beliau telah menerima pelbagai bentuk ejekan dan cemuhan berikutan penyebaran gambar tersebut.– AGENSI










