Katy Perry jalin hubungan dengan bekas PM Kanada?

Katy Perry jalin hubungan dengan bekas PM Kanada?

KATY Perry didakwa menjalin hubungan dengan Justin Trudeau selepas mereka menikmati makan malam bersama, baru-baru ini. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Bintang pop terkenal Katy Perry mencetuskan spekulasi hubungan cinta baharu apabila menikmati makan malam bersama bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, hanya beberapa minggu selepas perpisahannya dengan aktor Orlando Bloom.

Perry, 40, dan Trudeau, 53, dirakam makan malam bersama di restoran eksklusif Le Violon di Montreal pada malam Isnin.

Perry yang berada dalam jelajah konsertnya di Kanada, Lifetimes Tour, kelihatan ceria dan rancak berbual, manakala Trudeau memberi tumpuan penuh kepadanya.

Menurut laporan TMZ, pasangan tersebut memulakan malam mereka dengan berjalan-jalan di taman sebelum menuju ke restoran.

Selepas makan malam, mereka menikmati minuman di Taverne Atlantic, termasuk di kawasan teres.

Dalam rakaman yang diperoleh media, Perry tampil anggun dengan gaun hitam putih, manakala Trudeau bergaya segak dengan kemeja biru laut dan seluar panjang.

Kedua-duanya melalui fasa perubahan besar dalam hidup. Perry baru-baru ini berdepan detik sukar akibat perpisahannya dengan Bloom, kegagalan album terbarunya bertajuk 143, serta kritikan hebat selepas menyertai misi angkasa bersama Blue Origin pada April lalu.

Trudeau pula menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Kanada pada Januari lalu susulan kejatuhan popularitinya.

Beliau dan bekas isteri, Sophie Grégoire Trudeau, mengumumkan perpisahan mereka pada Ogos 2023 selepas 18 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak.

Perry pula berkongsi seorang anak perempuan berusia empat tahun, Daisy, bersama Bloom.

Setakat ini, wakil kedua-dua pihak belum memberi sebarang komen rasmi mengenai dakwaan hubungan romantik tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×