DALAM masyarakat Islam, budaya ke masjid sudah lama wujud. Alhamdulillah, kalau di kawasan bandar, solat jemaah biasanya penuh. Solat Jumaat, tidak perlulah kita sebut. Bukan setakat penuh malah melimpah sampai ke luar masjid, ada juga yang solat di kawasan tangga masjid.
Demikianlah kesedaran umat Islam yang semakin meningkat tentang kepentingan solat berjemaah lima waktu. Dengan kehadiran kaki masjid ini, maka terlepaslah hukum fardu kifayah bagi yang tidak solat berjemaah.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud. “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Riwayat Muslim)
Pun begitu, ada beberapa ketika, dilihat berlaku beberapa kesilapan yang boleh membawa kepada kerugian kepada mereka yang solat berjemaah di masjid. Ini apabila masih ada yang tidak memberi perhatian kepada beberapa perkara sunat. Antaranya:
Tidak berwuduk di rumah
Ada beberapa kelebihan yang dinyatakan Nabi SAW tentang hal ini. Ia bagi menggalakkan umat Islam berwuduk dahulu sebelum ke masjid atau surau. Ia juga bagi membudayakan kita sentiasa menjaga kesucian diri iaitu dengan memelihara wuduk pada setiap masa dan ketika.
Antara ganjaran besar kepada orang yang mengamalkan cara ini adalah mendapatkan keampunan dosa dan ditinggikan darjatnya dalam setiap langkah kakinya ke masjid.
Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT, maka langkahan pertama menghapuskan dosanya, dan langkahan kedua mengangkat darjatnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk mendirikan solat fardhu, maka pahalanya menyamai pahala seorang yang mengerjakan haji yang telah mengenakan ihram. (Riwayat Abu Daud)
Selain itu, satu hari Saidina Uthman Affan berwuduk secara sempurna kemudian dia berkata: “Rasulullah SAW berwuduk dengan baik lalu bersabda: ‘Sesiapa yang berwuduk seperti ini lalu keluar ke masjid, tidak ada lain melainkan untuk solat, diampunkan dosa-dosa sebelumnya.’” (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menjelaskan, hadis ini adalah satu galakan bagi seseorang berbuat ikhlas dalam melakukan setiap ketaatan semata-mata kerana Allah SWT.
Tidak solat tahiyatul masjid
Solat sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan ketika memasuki masjid sebagai memuliakan masjid. Ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Jika salah seorang kami masuk ke masjid, maka solatlah dua rakaat sebelum dia duduk. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika ada masa yang panjang iaitu kira-kira 10 minit selepas azan dan iqamah, maka afdal untuk tunaikan solat tahiyatul masjid dan juga sunat rawatib iaitu qabliah zuhur atau asar dan sebagainya. Solat tahiyatul masjid juga sudah dikira dilakukan jika seseorang itu melakukan solat sunat rawatib sejurus masuk ke masjid dan sebelum duduk.
Menurut mazhab Syafie, saranan melakukan solat tahiyatul masjid ini waima bagi orang yang masuk masjid dan mendapati ketika itu khatib sedang membaca khutbah Jumaat, maka sunat baginya solat dua rakaat yang ringkas sebelum duduk.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila datang seorang kamu ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang membaca khutbah, maka hendaklah dia solat sunat dua rakaat dan ringkaskanlah pada dua rakaat itu. (Riwayat Muslim)
Tidak niat iktikaf
Dari sudut syarak, iktikaf bermaksud: Menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumaiyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. (Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/213).
Iktikaf adalah ibadah yang disyariatkan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid. (al Baqarah-187)
Menurut Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunat muakkad (yang sangat dituntut). Ia disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada 10 hari terakhir Ramadan ia lebih dituntut. Ini bagi tujuan mengikut petunjuk Nabi SAW dan mencari Lailatul Qadr. (Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi)
Ijmak ulama juga menyatakan adalah makruh orang yang masuk masjid duduk terus tanpa melaksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid tanpa uzur seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Tidak rebut saf pertama
Diperhatikan masih ada yang apabila datang ke masjid dan surau, mereka tidak mahu merebut peluang duduk di saf pertama atau hadapan. Kalau pada hari Jumaat, memang ada yang datang awal tetapi mereka pilih duduk di saf belakang atau dekat dinding untuk menyandar.
Walhal sepatutnya, apabila sampai di masjid, hendaklah kita merebut untuk duduk di saf pertama kerana beberapa kelebihan yang ada padanya.
Antara kelebihan solat di saf yang pertama ialah Allah dan para malaikat berselawat kepada orang yang solat di saf pertama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama. (Riwayat Ibnu Majah)
Imam al-Munawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: maksud Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada ahlinya (mereka yang bersolat di saf yang pertama) iaitu dengan beristighfar kepada mereka.
Rasulullah SAW turut menyebut tentang kelebihannya sehingga jika sekiranya perlu untuk dibuat undian, sudah tentu orang ramai akan mengundi untuk mendapatkan perkara tersebut.
Ia seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi. (Riwayat Bukhari)
Selain itu, hendaklah kita membetulkan saf sebelum ia ditunaikan. Hal ini adalah sunah yang amat dituntut dalam Islam terutama bagi saf pertama.
Saf yang lurus dan rapat adalah amalan yang sangat digalakkan dalam solat berjemaah. Ia melambangkan kesatuan hati dan kesempurnaan solat. Rasulullah SAW sendiri menekankan kepentingan meluruskan saf dan para sahabat juga sangat mengambil berat tentangnya.
Seperkara lagi, jika berlaku dalam solat ada saf yang masih kosong di kiri, kanan atau hadapan kita, maka kita boleh bergerak bagi mengisi ruang itu, Yang perlu diberi perhatian, jangan bergerak tiga kali berturut-turut.
Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sungguh aku melihat syaitan-syaitan itu masuk pada sela-sela (saf solat) seperti kambing kecil yang hitam. (Riwayat abu Daud) – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










