Bursa Malaysia catat untung bersih RM125.5j

Bursa Malaysia catat untung bersih RM125.5j

FAD'L MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM125.5 juta bagi separuh pertama tahun berakhir 30 Jun 2025, menurun sebanyak 19.3 peratus berbanding RM155.5 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu. 

Bursa Malaysia berkata, penurunan PATAMI itu terutamanya disebabkan oleh penurunan hasil operasi sebanyak 8.1 peratus kepada RM344.3 juta pada separuh pertama 2025 berbanding RM374.5 juta pada separuh pertama 2024.

Katanya, pada masa sama, jumlah perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM189.3 juta berbanding RM177.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu. 

“Peningkatan itu berpunca daripada kos kakitangan dan perbelanjaan berkaitan teknologi yang lebih tinggi bagi menyokong peluasan produk merentas pelbagai kelas aset serta pembangunan keupayaan, selain peningkatan dalam perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan bangunan,” katanya dalam kenyataan. 

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 14.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berjumlah RM113.3 juta dengan kadar pembayaran dividen sebanyak 90.3 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, selain daripada Pasaran Sekuriti, semua segmen perniagaan mencatatkan peningkatan hasil bagi separuh pertama berbanding tahun lalu. 

“Ini mencerminkan kepentingan strategi bursa untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dengan mempertingkatkan penawaran merentasi pelbagai kelas aset. 

“Selain itu, faktor global seperti rundingan tarif berterusan Amerika Syarikat (AS) dengan rakan dagangnya serta ketegangan geopolitik yang berlarutan turut memberi kesan kepada sentimen pasaran dan menekan prestasi pasaran ekuiti.

“Namun begitu, aktiviti pengumpulan dana di Bursa Malaysia kekal kukuh, sekali gus menyokong pelan pertumbuhan perniagaan yang telah digariskan. 

“Kami berbangga kerana Bursa Malaysia terus mengungguli bursa-bursa lain di ASEAN bagi separuh pertama dalam tiga penanda aras utama iaitu jumlah tawaran awam permulaan (IPO), permodalan pasaran IPO dan dana yang dikumpulkan melalui IPO,” katanya. 

Dalam pada itu, penurunan hasil operasi Pasaran Sekuriti dalam separuh pertama didorong oleh penyusutan hasil dagangan. 

“Ini susulan penurunan purata nilai dagangan harian (ADV) bagi dagangan dalam pasaran sebanyak 24.8 peratus kepada RM2.5 bilion dalam separuh pertama 2025 berbanding RM3.3 bilion pada separuh pertama 2024.

“Bagi Pasaran Derivatif, hasil dagangan meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM56.1 juta dalam separuh pertama berbanding RM51.9 juta tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh peningkatan purata kontrak harian (ADC) yang diniagakan untuk kontrak niaga hadapan Minyak sawit mentah (FCPO). 

“Selaras dengan strategi untuk mengembangkan perniagaan derivatif, Bursa Malaysia telah melancarkan semula Niaga Hadapan Saham Tunggal (SSF) dalam separuh pertama dengan penambahbaikan spesifikasi bagi menarik lebih ramai pelabur dan meningkatkan kecekapan dagangan,” ujarnya. 

Mengulas prospek pasaran, Fad’l Mohamed berkata, pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh, dasar monetari yang akomodatif dan polisi kerajaan yang jelas, yang membuka peluang pertumbuhan dalam industri strategik.

“Kami komited untuk memajukan Bursa Malaysia sebagai Bursa Pelbagai Aset di bawah Pelan Strategik 2024–2026. 

“Fokus utama kami merangkumi menjadi platform pilihan utama untuk pengumpulan dana, meningkatkan daya tarikan dan kecairan pasaran, serta meneroka kaedah baharu untuk memperkasa perniagaan data,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×