KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan untuk mewajibkan platform media sosial melabelkan kandungan yang dijana atau ditambah baik menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut bertujuan menangani penularan bahan ‘deepfake’ dan kandungan mengelirukan lain yang dihasilkan melalui teknologi AI generatif khususnya dalam platform melibatkan capaian pengguna yang tinggi.
“Itu antara sebab MCMC sedang mengkaji keperluan untuk platform media sosial melaksanakan pelabelan seperti ‘Dijana AI’ atau ‘Ditingkatkan AI’ sama ada kandungan itu dihasilkan sepenuhnya oleh AI atau ditambah baik serta diubah menggunakan teknologi AI,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi) yang ingin mengetahui prosedur siasatan MCMC melibatkan kenyataan di media sosial serta kebimbangan terhadap peningkatan kandungan AI yang memaparkan tokoh awam secara palsu.
Fahmi berkata, kesedaran pengguna kekal penting memandangkan wujudnya teknologi yang semakin canggih dan mampu meniru individu sebenar serta memalsukan sesuatu kejadian.
“Kita perlu mekanisme semakan yang mudah untuk orang ramai iaitu satu cara pengesahan yang ringkas,” katanya.
Katanya, cadangan pelabelan itu berkemungkinan boleh dilaksanakan menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Akta 868) atau Online Safety Act (Onsa) yang dijangka dikuatkuasakan sebelum akhir tahun ini selepas semua peraturan sokongan dimuktamadkan.
“Kita jangka setelah beberapa peraturan dimuktamadkan oleh MCMC, Onsa boleh dikuatkuasakan menjelang akhir tahun,” katanya.
Fahmi mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima sepenuhnya sebarang kandungan dalam talian terutama di media sosial dan penyedia platform perlu bertanggungjawab mengawal penularan bahan palsu yang dihasilkan oleh AI.
Inisiatif pelabelan itu diyakini dapat membantu pengguna membezakan antara kandungan asli manusia dengan kandungan yang diubah atau dijana AI selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang sedang berkembang.-UTUSAN










