PARLIMEN: Sasaran 30 peratus ahli Parlimen wanita masih jauh

PARLIMEN: Sasaran 30 peratus ahli Parlimen wanita masih jauh

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Program Walkabout Khas Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam arena politik negara terus diberi keutamaan apabila hanya 13.5 peratus daripada keseluruhan Ahli Dewan Rakyat ketika ini terdiri daripada golongan wanita, manakala bagi Dewan Negara pula hanya 16.1 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, situasi itu disifatkan masih jauh daripada sasaran minimum 30 peratus ditetapkan menerusi Dasar Wanita Negara (DWN) sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk semua pihak terutama ahli politik memacu agenda pemerkasaan wanita ke tahap lebih serius.

Katanya, DWN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac lalu merupakan langkah reformasi penting kerajaan untuk memperkukuh kedudukan wanita di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Walkabout Khas Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 ini bertujuan menyemarakkan momentum dasar tersebut, terutama dalam memastikan wanita diberi ruang yang adil dalam proses membuat keputusan, termasuk di Parlimen.

“Sudah tiba masanya kita mengarusperdanakan peranan wanita dalam semua sektor secara menyeluruh dan inklusif, bukan sekadar slogan, tetapi dilaksanakan dengan komitmen politik yang jelas,” katanya ketika berucap pada Program Walkabout Khas Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita tahun 2025 hingga 2030 di Lobi Parlimen, hari ini.

Majlis turut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta dihadiri oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat II, Alice Lau Kiong Yieng.

Nancy berkata, dasar tersebut mengetengahkan empat bidang keutamaan iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan yang disokong oleh 12 pemacu perubahan serta pemboleh daya strategik seperti bajet responsif gender dan audit gender.

Menurut beliau, dengan tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, dasar itu menegaskan tekad kerajaan agar tiada wanita yang tercicir dalam pembangunan negara secara holistik dan komprehensif.

“Apabila kedudukan wanita diperkuatkan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada keadilan sosial, malah berpotensi melonjakkan pertumbuhan negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Kementerian akan memastikan setiap kementerian dan agensi melaksanakan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita mengikut sasaran yang ditetapkan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN