GAZA: Tentera Israel mendakwa mula mengagihkan bantuan melalui jatuhan udara di Semenanjung Gaza selepas menerima tekanan berterusan daripada masyarakat antarabangsa untuk menangani segera krisis kebuluran yang semakin meruncing di wilayah itu.
Menurut kenyataan awal pagi Ahad, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan penghantaran tersebut melibatkan tujuh bungkusan bantuan mengandungi tepung, gula dan makanan dalam tin.
IDF turut mendakwa operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa serta dikoordinasi oleh COGAT, badan tentera Israel yang bertanggungjawab mengurus kemasukan bantuan ke Gaza.
Penghantaran itu dilakukan ketika Israel menghadapi gesaan hebat untuk membenarkan lebih banyak bantuan memasuki Gaza, susulan amaran mengenai kebuluran besar-besaran selepas sekatan bekalan selama berbulan-bulan terhadap lebih dua juta penduduk wilayah tersebut.
Tentera Israel turut mengumumkan akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dan menghentikan operasi tempur di kawasan tertentu yang dikenal pasti sebagai berpenduduk padat.
Sebelum ini, Israel memutuskan semua bentuk bekalan ke Gaza sejak awal Mac, sebelum menyambungnya semula dengan syarat yang lebih ketat pada Mei lalu.
Bersama Amerika Syarikat (AS), Israel turut menyokong penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang diberi kebenaran beroperasi di Gaza.
Namun, sejak GHF memulakan operasi, hampir setiap hari dilaporkan kematian penduduk Palestin ketika cuba mendapatkan bantuan, dengan saksi mendakwa kebanyakan mereka ditembak oleh tentera Israel.
Israel menafikan angka kematian yang dilaporkan dan mendakwa tenteranya hanya melepaskan tembakan amaran serta menuduh kumpulan Hamas mencetuskan kekacauan di sekitar kawasan pengagihan bantuan.
Sementara itu, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan penghantaran bantuan melalui udara sebagai mahal, tidak efisien, malah boleh membunuh rakyat yang kelaparan jika berlaku kesilapan.
Beliau mendedahkan terdapat lebih 6,000 buah lori bantuan sedang menunggu untuk memasuki Gaza dari Jordan dan Mesir, dan menyeru Israel agar menamatkan sekatan, membuka pintu masuk dan menjamin keselamatan serta maruah pergerakan bantuan.
Perang di Gaza tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menawan 251 tebusan.
Sejak itu, lebih 59,000 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan balas Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.










