PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar menyegerakan pengisian lebih 4,000 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak dengan mempermudahkan proses birokrasi.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut disuarakan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini.
“Perdana Menteri telah membangkitkan isu pengisian 4,000 perjawatan doktor yang belum lagi diisi dan ini telah disampaikan hari ini kepada anggota Jemaah Menteri, khususnya Menteri Kesihatan.
“Perdana Menteri minta supaya proses birokrasi yang mungkin dilihat sebagai melewatkan (proses) ini dipercepat kerana pada mulanya pihak Kementerian Kesihatan menjangkakan kebanyakan atau pun kesemua daripada jawatan ini akan dapat diisi menjelang bulan November.
“Tapi Perdana Menteri berpandangan ini terlalu lewat. Jadi akan dipercepat proses tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini.
Beliau menekankan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan.
Bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan, Anwar mengesahkan seramai 4,352 doktor baharu, termasuk yang berstatus kontrak, akan diambil bekerja pada tahun ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memberikan komitmen beliau bahawa proses pengisian perjawatan berkenaan akan diringkaskan tanpa menjejaskan apa-apa prosedur.
“Memandangkan ada keperluan yang mendesak untuk mengisi 4,000 kekosongan, ia bukan satu jumlah yang kecil, maka perlu dipercepat.
“Dan Menteri Kesihatan telah memberikan komitmen bahawa proses ini akan diringkaskan tanpa menjejaskan dari segi prosedurnya dan akan dipercepat. Ini komitmen daripada Menteri Kesihatan,” ujarnya.- UTUSAN











