MUAR: Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, dihukum penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu dan bersubahat tentang kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.
Hukuman itu dibuat Majistret Suzana Mokhtar selepas dua beradik berkenaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.
Suzana turut memerintahkan Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. Namun, kedua-duanya membayar denda berkenaan.
Suzana juga memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tengku Nizaruddin didakwa mengarahkan Tengku Abdul Aziz memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis tentang kehilangannya selepas tidak dapat dihubungi sejak pukul 4 petang, 14 Julai 2025.
Dia didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tengku Abdul Aziz pula didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin yang gagal dihubungi pada masa dan tarikh sama di Balai Polis Lenga, 15 Julai lalu.
Bapa dua anak itu didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd. Piah manakala dua beradik itu diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada 15 Julai lalu, polis menerima panggilan telefon berkaitan penemuan kereta Perodua Axia berwarna putih dipercayai dipandu Ija Nizaruddin dalam Sungai Tui di kawasan kebun sawit Bukit Kepong sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atasnya.
Namun, pada 19 Julai, Tengku Nizaruddin menyerah diri di Balai Polis Lenga dan mengaku membuat laporan palsu.- UTUSAN










