FAM pandang serius Jalur Gemilang terbalik

FAM pandang serius Jalur Gemilang terbalik

Mohd Joehari Mohd Ayub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden penyokong Indonesia didakwa mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dalam kejohanan Piala ASEAN Bawah 23 (B-23) baru-baru ini.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan, perbuatan itu jelas mencemar semangat kesukanan dan disifatkan sebagai biadab dan tidak boleh dimaafkan, malah berpotensi mengeruhkan hubungan diplomatik antara dua negara serumpun.

“Kita telah berhubung dengan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) mengenai perkara ini kerana ia isu yang kita pandang sangat serius.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara seperti ini berada di luar kawalan kami, namun kami sedang berbincang dan berurusan dengan pihak berkaitan untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 di sini hari ini.

Insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Malaysia selepas tersebar gambar menunjukkan sekumpulan penyokong Indonesia mengangkat Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik, selain terdapat simbol pangkah di tengah-tengah bendera tersebut.

Tindakan provokatif itu dilihat bukan sahaja mencemari imej kejohanan bola sepak serantau, malah melampaui batas semangat kesukanan yang sepatutnya dipelihara oleh semua penyokong.

FAM berharap semua penyokong Malaysia bertenang dan tidak membalas provokasi dengan tindakan yang boleh menjejaskan reputasi negara.

Perbuatan mengibarkan bendera secara terbalik bukan sekadar satu kesalahan etika, malah boleh dianggap penghinaan serius terhadap sesebuah negara berdaulat, justeru langkah tegas perlu diambil supaya perkara sebegini tidak berulang dalam mana-mana kejohanan akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini