KEMENTERIAN Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah menganjurkan Festival Hari Muzium Antarabangsa 2025 Peringkat Kebangsaan dari 23 hingga 29 Julai di Muzium Padi, Kedah.
Dengan tema “Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas”, festival ini bukan sekadar sebuah acara warisan tetapi merupakan wadah penyatuan rakyat Malaysia dalam menghargai khazanah budaya dan sejarah tanah air.
Dalam landskap masyarakat yang semakin dinamik dan berbilang bangsa, muzium berperanan sebagai jambatan antara generasi, merentas latar belakang etnik dan agama, menyatukan kita dalam satu naratif kebangsaan yang inklusif dan bersepadu.
Festival ini membawa pengisian yang padat dan menarik seperti pameran interaktif, bengkel pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti yang meraikan kepelbagaian dan kekuatan warisan negara.
Antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah pameran muzium, citrawarna muzium, bengkel asasi seni telepuk, pertandingan qasidah, bengkel melangir keris, pakat tughun bendang, bengkel wau sobek, pertandingan seni suara burung, pertandingan ayam serama, larian muzium, sesi bersama Datuk Lat, teroka khazanah, permainan tradisional dan bicara seni.
Inisiatif seperti ini adalah platform penting dalam memperkukuh jati diri nasional serta menyemai nilai kebersamaan dan persefahaman antara rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama memeriahkan festival ini di Muzium Padi, Kedah.-UTUSAN
KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA
Putrajaya










