Mayat penumpang tragedi Air India saling tertukar, keluarga minta penjelasan

Mayat penumpang tragedi Air India saling tertukar, keluarga mangsa minta penjelasan

SUASANA pilu menyelubungi kawasan bilik mayat hospital di Ahmedabad, dengan ahli keluarga mangsa berkumpul untuk menyerahkan sampel DNA bagi proses pengecaman mangsa nahas pesawat Air India 171.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Keluarga mangsa nahas pesawat Air India dari Britain meluahkan rasa kecewa dan terkejut selepas mendapat tahu mayat orang tersayang yang diterima mereka tersalah dikenal pasti sebelum dihantar pulang ke tanah air.

Menurut peguam penerbangan yang mewakili beberapa keluarga mangsa, James Healy-Pratt, salah satu keluarga terpaksa membatalkan rancangan pengebumian selepas dimaklumkan keranda yang diterima mengandungi mayat individu yang tidak dikenali.

Satu lagi kes melibatkan ‘mayat bercampur’ iaitu sisa tubuh lebih daripada seorang mangsa yang diletakkan dalam satu keranda dan kesilapan itu hanya disedari selepas ujian pengesahan DNA dilakukan, lapor Daily Mail.

Menurut laporan, Dr Fiona Wilcox, Koroner Kanan London Inner West, mula mempersoalkan kesahihan identiti mayat apabila keputusan ujian DNA tidak sepadan dengan sampel yang diberi oleh keluarga.

Dalam tragedi yang berlaku pada 12 Jun lalu, pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam penerbangan ke London terhempas ke sebuah kolej perubatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, mengorbankan 241 penumpang termasuk 52 warga Britain.

Menurut Healy-Pratt, sekurang-kurangnya 12 mayat mangsa dihantar pulang ke Britain untuk dikebumikan namun, kesilapan dalam proses pengecaman telah menyebabkan sebahagian keluarga masih belum mengetahui di mana sebenarnya mayat insan tersayang mereka berada.

“Saya telah bertemu secara peribadi dengan keluarga-keluarga ini sepanjang bulan lalu. Mereka semua hanya mahu membawa pulang insan tersayang untuk dikebumikan dengan sempurna. Namun, ada yang menerima jenazah yang salah – ini amat menyedihkan,” katanya.

Katanya, satu daripada keluarga yang menerima sisa tubuh yang bercampur akhirnya berjaya mengasingkan bahagian-bahagian tersebut bagi menjalankan upacara pengebumian namun, satu lagi keluarga kini masih ‘tergantung’ tanpa jenazah untuk dikebumikan.

Keluarga Akeel Nanabawa, Hannaa Vorajee dan anak perempuan mereka, Sara, berusia empat tahun dari Gloucester yang turut maut dalam nahas berkenaan menyatakan mereka yakin menerima jenazah yang betul namun tetap tidak berpuas hati dengan proses pengecaman.

“Kami menerima pengesahan rasmi identiti ketiga-tiga ahli keluarga kami dalam tempoh seminggu selepas nahas. Kami bersyukur dapat mengebumikan mereka di India menurut ajaran Islam, tetapi proses itu amat merisaukan,” kata keluarga itu dalam satu kenyataan.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Randhir Jaiswal berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai laporan tersebut dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Britain sejak isu ini dibangkitkan.

“Proses pengecaman telah dijalankan menurut protokol dan keperluan teknikal yang ditetapkan. Semua mayat telah diuruskan dengan penuh profesionalisme dan hormat terhadap maruah si mati. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak UK bagi menangani sebarang kebimbangan yang timbul,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×