PARLIMEN: ASEAN sepakat kutuk kekejaman Israel di Gaza

PARLIMEN: ASEAN sepakat kutuk kekejaman Israel di Gaza

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan bersama ASEAN yang mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap rakyat Palestin mencerminkan peningkatan tahap persefahaman dan kesepakatan serantau antara negara-negara anggota dalam isu kemanusiaan global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu amat bermakna kerana ASEAN telah berdepan kesukaran untuk mencapai kata sepakat mengenai isu Palestin disebabkan perbezaan pendirian dalam kalangan negara anggotanya.

“Alhamdulillah, walaupun sebelum ini agak sukar, kali ini kita berjaya keluarkan kenyataan bersama semasa kekejaman Israel memuncak.

“Semua negara ASEAN bersetuju mengutuk tindakan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, termasuk penggunaan makanan sebagai senjata untuk menghukum mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta pendirian ASEAN terhadap isu Palestin, termasuk perkembangan Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang berlangsung 11 Julai lalu.

Mohamad berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi ruang untuk memperkukuh pendirian kolektif serantau terhadap isu-isu kemanusiaan, termasuk penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang berlangsung pada 11 Julai lalu turut mencatatkan kejayaan penting apabila Jepun bersetuju menyertai kenyataan bersama mengecam kekejaman rejim Israel buat pertama kalinya.

“Sebelum ini Jepun mengambil pendirian berkecuali. Namun, semasa persidangan tersebut yang turut dihadiri oleh Republik Korea dan semua negara ASEAN, Jepun akhirnya bersetuju dengan kenyataan bersama yang kita keluarkan.

“Kita mengutuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, dan ini suatu perkembangan diplomatik yang amat penting,” ujarnya.

Tambah beliau, ASEAN dan negara-negara Asia Timur bersetuju untuk merangka pelan tindakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan termasuk makanan serta memulakan perancangan kerjasama pasca-konflik sekiranya gencatan senjata berkekalan dapat dicapai hasil daripada persidangan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×