Tentera Thailand, Kemboja berbalas tembakan di kawasan sempadan - Utusan Malaysia

Tentera Thailand, Kemboja berbalas tembakan di kawasan sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja kembali meningkat susulan insiden tembak-menembak yang berlaku berhampiran Kuil Ta Moan Thom di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, pada pagi Khamis, menurut kenyataan rasmi kedua-dua pihak tentera.

Dalam kejadian itu, dua anggota tentera Thailand dilaporkan cedera.

Thailand mendakwa Kemboja menghantar dron pengawasan dan seterusnya menggerakkan enam anggota bersenjata lengkap, termasuk pelancar roket BM21, sebelum melepaskan tembakan ke arah pos tentera Thailand.

Kementerian Pertahanan Kemboja bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, menyatakan pasukan mereka hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu.

Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, dalam satu kenyataan di media sosial menggesa rakyat bertenang dan tidak melakukan pembelian panik.

Beliau turut mengesahkan bahawa wilayah Oddar Meanchey dan Preah Vihear telah terkena serangan artileri dari pihak Thailand.

Ketegangan ini berlaku sehari selepas seorang anggota tentera Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api di sempadan Ubon Ratchathani.

Tiga lagi anggota turut cedera dalam insiden berasingan pada 16 Julai.

Thailand menuduh Kemboja menanam periuk api baharu, namun Kemboja menolak dakwaan itu dan menyatakan bahawa bahan letupan berkenaan adalah tinggalan perang saudara.

Kemboja turut menuduh tentera Thailand menyimpang dari laluan sempadan yang telah dipersetujui bersama.

Kawasan sekitar kuil purba seperti Preah Vihear dan Ta Moan Thom memang telah lama menjadi titik panas pertikaian sempadan antara kedua-dua negara, dengan konflik bersenjata tercetus sebelum ini pada tahun 2008 dan 2011.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×