LONDON: Pelumba Williams, Carlos Sainz mendedahkan Ferrari telah memberikannya jaminan dia akan mendapat kontrak baharu sebelum pasukan itu membuat keputusan mengejut menandatangani Lewis Hamilton sebagai penggantinya bagi musim Formula Satu (F1) 2025.
Ferrari membuat kejutan dengan menandatangani juara dunia tujuh kali, Hamilton pada awal 2024 dan menggandingkannya dengan Charles Leclerc bermula musim ini.
Keputusan itu mengorbankan tempat Sainz, yang telah menunjukkan prestasi mengagumkan bersama Leclerc sejak menyertai Ferrari dari McLaren pada tahun 2021.
Sainz sebelum ini telah beberapa kali menyatakan betapa terkejutnya dia apabila diberitahu bahawa Ferrari tidak akan memperbaharui kontraknya dan menerima kenyataan itu dengan tenang.
Namun, kini pemandu Sepanyol itu mendedahkan situasi sebenar apabila berkata, dia telah diberitahu bahawa kontrak baharu itu hanyalah formaliti menjelang musim 2024.
“Perbincangan kontrak dengan Ferrari agak tergendala dengan cara yang pelik kerana kami sudah berbincang sejak Oktober (2023) untuk memperbaharui kontrak saya dan mereka terus menangguhkan waktu untuk menandatangani dan mencapai persetujuan.
“Tetapi saya tidak pernah merasa curiga, saya sentiasa merasakan mereka hanya sibuk dengan perkara lain. Saya pun macam, ‘Okay, tiada masalah. Jadi saya masuk ke musim sejuk dengan mentaliti ia akan selesai sebelum perlumbaan pertama musim 2024.
“Tiba-tiba pada pertengahan atau hujung Januari, saya terima panggilan telefon dan mereka beritahu saya berita itu. Saya dengar daripada seorang kawan yang menelefon saya dan saya betul-betul terkejut,” katanya.
Sainz mengakui dia mengambil masa untuk memproses keputusan itu, terutamanya kerana ia meninggalkannya tanpa destinasi yang jelas untuk tahun 2025. – AGENSI/UTUSAN










