Pas Sabah desak siasat isu lesen penerokaan mineral di Kalabakan

Pas Sabah desak siasat isu lesen penerokaan mineral di Kalabakan

MUSTAMAN MUSTAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan berhubung pemberian lesen penerokaan mineral berskala besar di Kalabakan.

Ketua Penerangan Pas Sabah, Mustaman Mustain berkata, walaupun bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador dan Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) menafikan dakwaan berkenaan, namun minit mesyuarat yang bocor menunjukkan sebaliknya.

Katanya, pendedahan berhubung isu itu bukan sahaja mencetuskan keraguan terhadap tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban pihak terlibat, malah menjejaskan kepentingan rakyat Sabah dalam hal pengurusan sumber asli negeri.

“Skandal ini jelas telah menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan, integriti dan kepentingan rakyat Sabah khususnya dalam pengurusan sumber asli negeri.

“Tambahan pula, skala kawasan yang terlibat sangat besar dan tiada penjelasan langsung tentang kesan kepada alam sekitar, penduduk tempatan serta proses penilaian teknikal yang sepatutnya dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Mustaman berkata, SPRM perlu segera memulakan siasatan dan memanggil semua individu yang dinamakan dalam laporan serta dokumen yang bocor itu bagi memberikan keterangan.

“Sebarang kelewatan menyiasat boleh membuka ruang kepada pemusnahan kekayaan bumi Sabah serta kehilangan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Sabah dan SMM perlu mendedahkan semua maklumat berkaitan syarikat yang diberikan lesen tersebut termasuk pemilik sebenar, sumber pembiayaan serta struktur pemilikannya.

Beliau turut menggesa supaya audit menyeluruh terhadap SMM dilakukan secara bebas oleh agensi berkecuali bagi memastikan tiada sebarang unsur penyelewengan berlaku.

“Sekiranya didapati terdapat unsur penipuan, manipulasi minit mesyuarat atau konflik kepentingan dalam pemberian lesen, semua pihak terlibat mesti diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya.

Pas Sabah turut menggesa supaya kelulusan kepada Bumi Suria Sdn. Bhd. digantung serta-merta sementara siasatan penuh dijalankan bagi mengelak sebarang urus niaga tidak sah, kerosakan alam sekitar atau pencabulan hak masyarakat setempat.

“Tuntasnya, rakyat Sabah tidak akan terus menjadi penonton dalam urusan yang melibatkan tanah dan hasil bumi negeri ini.

“Sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan terhadap amanah atau pemilikan yang menyalahi prosedur terhadap kekayaan negeri ini akan ditentang sepenuhnya,” katanya.

Isnin lalu, Farhash telah membuat laporan polis terhadap sebuah portal dan mendakwa bahawa laporan yang disiarkan adalah palsu dan berunsur fitnah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×