PETALING JAYA: Perdana Menteri menyeru seluruh pemimpin dunia untuk bersatu demi memperjuangkan keadilan buat Gaza yang sedang menderita akibat kekejaman dan penindasan yang tidak terhenti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tragedi yang sedang berlaku di Gaza merupakan ujian terhadap nilai kemanusiaan semua pihak.
Kata beliau, penduduk Gaza bukan sahaja dibunuh dengan kejam tetapi turut menderita akibat kelaparan.
Oleh itu, tegasnya, nasib malang yang menimpa penduduk Gaza perlu dihentikan segera kerana ia melanggar kod moral paling asas.
“Malaysia menyeru semua pemimpin dunia untuk bertindak dengan segera. Setiap kerajaan yang percaya kepada undang-undang antarabangsa, setiap negara yang mendakwa menghargai nyawa manusia, mesti bersuara dengan satu nada.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak yang mempunyai pengaruh terhadap Israel agar mencari keberanian untuk bertindak tegas,” katanya menerusi klip video berdurasi 2.10 minit yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau merayu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendesak pembunuhan atau genosid oleh Israel itu dihentikan serta-merta.
“Pengeboman secara melulu ini perlu ditamatkan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan.
“Inilah saat untuk kepimpinan moral, inilah waktunya untuk menegakkan nilai-nilai yang kita dakwa perjuangkan,” katanya.
Tambahnya, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara bagi membawa keadilan pada Gaza dan memulihkan prinsip asas kemanusiaan.
“Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya memerhati. Biarlah hati nurani membimbing kita, untuk menjawab penderitaan dengan belas ihsan dan mengejar keamanan demi kemanusiaan kita semua,” ujarnya. – UTUSAN











