BERA: Kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) sejak 1994 berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil bagi memastikan penerokaan haram terhadap kawasan diwartakan pada 30 Ogos 2007 itu dapat dibanteras.
Katanya, satu tindakan penguatkuasaan bersepadu sudah dilaksanakan di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera bermula 14 September lalu dengan kekuatan 160 anggota.
“Ia melibatkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perhilitan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera serta kita mendapatkan kawalan keselamatan daripada Polis DiRaja Malaysia Daerah Bera dan Pasukan Gerakan Am Batalion 7.
“Selain itu, tindakan penguatkuasaan ini diambil kerana kami mengesyaki anggaran seluas 18,000 ekar kawasan Hutan Simpan telah diteroka secara haram dengan tanaman sawit dan getah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Saifullah berkata, pihaknya turut mengesyaki terdapat sindiket haram yang berselindung di sebalik nama Orang Asli untuk melakukan pencerobohan tanah secara haram.
“Kami juga mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi Orang Asli untuk membuka beribu ekar tanah yang berselindung di belakang alasan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli.
“Selain itu, ada setengah tempat yang kami pergi, perkampungan Orang Asli hanya ada enam rumah tetapi kita boleh lihat penerokaan yang terjadi seluas seribu ekar. Apakah ini kita kira sebagai tanaman sara hidup?,” katanya.
Mengulas insiden yang tular berkenaan tindakan anggota penguat kuasa yang dilihat menyepak bekas kemenyan, beliau berkata, tindakan provokatif oleh pihak terlibat adalah halangan untuk pihaknya menjalankan tugas.
“Di samping itu, semasa tindakan penguatkuasaan, banyak provokasi dan sekatan yang dilakukan oleh komuniti Orang Asli. Sebagai contoh, sepanjang empat hari operasi, kami masuk lebih kurang 10 kampung dan semua jalan masuk kampung disekat dengan halangan berpagar yang digantung dengan tulang-tulang dan bekas kemenyan diletakkan di tengah-tengah pagar.
“Apa niat Orang Asli melakukan perkara tersebut? Seperti memang ada niat untuk mengenakan santau atau mencederakan semua penguat kuasa yang bertugas. Penguat kuasa yang bertugas tiada pilihan selain membuka halangan pagar dan bekas kemenyan tersebut bagi menyelesaikan tugasan mereka,” katanya.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan di kawasan itu akan diteruskan bagi melumpuhkan sindiket haram yang meneroka sawit dalam kawasan Hutan Simpan di negeri ini. – UTUSAN











