EDINBURG: Kehadiran satu haiwan misteri yang bergerak pantas sebelum tenggelam dan timbul semula di permukaan tasik Loch Ness, Scotland telah berjaya dirakam sehingga mencetuskan spekulasi bahawa ia mungkin raksasa legenda, ‘Nessie’.
Seorang pelawat, Sasha Lake, 31, sedang berada di tebing tasik berkenaan pada 1 Mac sekitar pukul 6 petang waktu tempatan apabila beliau menyedari sesuatu yang ganjil sedang bergerak di dalam air.
Haiwan misteri tersebut dilihat ‘berenang’ pada kelajuan yang luar biasa dan secara kebetulan, Lake sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya.
“Saya berasa sangat teruja dan ingin tahu. Saya hanya berhenti merakam selepas objek itu hilang daripada pandangan,” katanya yang berasal dari Bath.
Lake kemudian menunjukkan rakaman tersebut kepada ketua kumpulan Loch Ness Exploration, Alan McKenna.
McKenna mendakwa bahawa tiada haiwan yang diketahui mendiami Loch Ness mampu ‘berenang’ pada kelajuan seperti itu.
Walaupun identiti sebenar objek tersebut masih belum dapat dipastikan, ini merupakan laporan pertama bagi kemungkinan penampakan raksasa Loch Ness bagi tahun ini.
Berdasarkan Rekod Rasmi Penampakan Raksasa Loch Ness, ‘Nessie’ dilaporkan telah dikesan sebanyak lima kali sepanjang tahun 2025.
Makhluk mitos ini telah menjadi sebahagian daripada cerita rakyat Scotland selama berabad-abad, namun mula mendapat perhatian dunia pada tahun 1933 selepas gambar pertamanya berjaya dirakam.
“Saya ke sana memang dengan niat ingin merungkai misteri ini, tetapi banyak aspek lain tentang Loch Ness yang menarik minat saya. Namun, kemungkinan untuk mengalami sesuatu yang luar biasa sentiasa ada dalam fikiran saya,” ujar Lake lagi.
Tambahnya, beliau kini tidak mudah terpedaya dengan sebarang pergerakan di permukaan air, namun kelajuan dan cara objek itu bergerak membuatkan beliau yakin bahawa ia adalah sesuatu yang aneh.
Dalam pada itu, Shaun Sloggie yang bekerja dengan syarikat pelayaran Cruise Loch Ness di Fort Augustus, turut menyatakan rasa kagum dengan rakaman tersebut, terutamanya apabila melihat objek itu bergerak sangat laju.
“Apa pun objek itu, ia bergerak sangat laju. Berdasarkan saiz gelombang yang dihasilkan, objek tersebut pasti bersaiz agak besar,” jelas Sloggie. – AGENSI










