Labuan IBFC, TRX City pacu aliran modal serantau

Labuan IBFC, TRX City pacu aliran modal serantau

BEN Quah (dua kiri) bersama Datuk Azmar Talib (dua kanan) selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara dua pusat kewangan antarabangsa utama Malaysia di sini, semalam. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) dan TRX City Sdn. Bhd. (TRXC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara dua pusat kewangan antarabangsa utama Malaysia.

Langkah berkenaan dilaksanakan di bawah gagasan bersama ‘1 Ekosistem, 2 IFC’ yang bertujuan menggabungkan kekuatan teras kedua-dua pusat kewangan untuk memacu pelaburan serantau, ketersambungan perniagaan serta aliran modal di seluruh rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc., Ben Quah berkata, kedudukan Labuan yang beroperasi sebagai sebahagian daripada Malaysia menawarkan penyelesaian pertengahan (mid-shore) yang sangat kukuh dan melengkapi persekitaran perniagaan sedia ada.

Menurutnya, struktur kewangan yang fleksibel di Labuan berupaya menjadi batu loncatan serta platform peluncuran bagi syarikat-syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang mahu mengembang dan memperluaskan empayar perniagaan mereka ke peringkat serantau.

“Syarikat yang bertapak di TRX kini boleh memanfaatkan kepakaran dan kerangka perundangan Labuan IBFC untuk tujuan pelesenan mahupun penubuhan syarikat memegang.

“Pada masa yang sama, kira-kira 5,000 syarikat yang kini beroperasi di Labuan juga berpeluang menjadikan TRX sebagai lokasi pejabat pemasaran mereka di Kuala Lumpur,” katanya semasa majlis menandatangani MoU tersebut, di sini semalam.

Tambahnya, reputasi Labuan IBFC sebagai hab kewangan premier terus melonjak di peringkat global apabila kedudukannya naik ke tangga ke-44 berbanding tangga ke-55 sebelum ini dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI).

Menerusi meterai kerjasama itu, TRXC dan Labuan IBFC Inc. akan meneroka pelbagai inisiatif pembangunan pasaran bersama, perkongsian maklumat dan penyelidikan, aktiviti promosi secara kolektif serta pemudahan fasilitasi pelaburan.

Kerjasama ini hadir pada waktu yang tepat apabila syarikat-syarikat antarabangsa semakin giat mempelbagaikan operasi di Asia serta memerlukan platform serantau yang mampu menyokong keperluan operasi dan kewangan rentas sempadan secara bersepadu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib berkata, kerjasama pintar ini membolehkan TRX memanfaatkan ekosistem kewangan serta tadbir urus Labuan IBFC yang mantap tanpa perlu ‘mencipta semula roda’ (reinvent the wheel).

Katanya, sejak visi asal TRX dikaji semula, pihak pengurusan fokus untuk meningkatkan keseluruhan ekosistem kewangan dan perniagaan negara, berbanding mewujudkan persaingan dengan hab kewangan sedia ada yang telah mempunyai rekod prestasi terbukti.

“Kami mahu meningkatkan ekosistem kewangan negara yang seterusnya menyokong pertumbuhan perniagaan. Daripada kita bersaing, adalah lebih baik bekerjasama dengan pusat kewangan yang sudah mempunyai tadbir urus kukuh serta dikenali di peringkat antarabangsa.

“Pusat perniagaan di TRX yang disokong oleh infrastruktur fizikal berkualiti tinggi kini dapat dipadankan secara strategik dengan kerangka perundangan serta struktur perniagaan antarabangsa yang fleksibel di Labuan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pasaran, Azmar berkata, selain mengukuhkan kedudukan dalam pasaran kewangan Islam dan Asia Barat, fokus utama TRXC kini adalah untuk menarik kemasukan entiti perniagaan dari rantau Oriental termasuk Singapura, Hong Kong, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun.

Sebagai hab kewangan antarabangsa negara, TRX kini menempatkan lebih 30,000 tenaga kerja serta melebihi 120 syarikat pelbagai sektor termasuk institusi kewangan global, gergasi teknologi, syarikat multinasional serta industri berasaskan kecerdasan buatan (AI). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×