TANJUNG MALIM: Penduduk yang terjejas dalam kejadian kepala air di Slim River pada Ogos tahun lalu masih trauma dengan bencana alam itu.
Penduduk berkata, kejadian kepala air yang berpunca daripada empangan pecah di Kampung Ulu Slim, Slim Village, dekat sini selepas hujan lebat, masih diingati penduduk.
Kejadian tersebut menyebabkan ramai yang terperangkap akibat banjir, selain rumah penduduk dipenuhi banjir lumpur dan Jambatan Lama Sungai Slim turut runtuh.
Walaupun kejadian itu sudah hampir setahun dan jambatan yang runtuh sudah diganti baharu, penduduk yang terjejas masih teringat detik-detik cemas ketika banjir melanda beberapa buah kampung di sini.
Penduduk Kampung Lintah Piong, Abdul Wahab Jaafar, 71, berkata, kejadian tersebut berlaku pada 24 Ogos tahun lalu namun dia merasakan kejadian itu baru sahaja berlaku.
Katanya, dia masih ingat bagaimana rumahnya dipenuhi lumpur dan kayu balak yang dihanyutkan dari Sungai Slim.
Jelasnya, keadaan pada masa itu seperti tsunami yang berlaku tiba-tiba. Kejadian itu sudah hampir setahun berlaku namun sehingga kini saya tak dapat lupakan detik cemas ketika kepala air menghentam rumah saya.
“Saya sudah berumur, setiap kali di masjid, saya berdoa agar kejadian itu tidak berulang. Kalau waktu petang, jika lihat langit mendung, saya jadi risau.
“Begitu pun saya akan terus tinggal di sini. Kalau nak pindah, rasa sayang pada tanah dan rumah sendiri, lagipun di mana lagi nak tinggal. Saya hanya mampu berdoa agar tidak lagi kejadian kepala air melanda kampung ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk yang terjejas dengan kejadian kepala air tahun lalu, Ahmad Dauh, 57, berkata, setiap kali melihat jambatan yang runtuh akibat dihentam arus kepala air, dia pasti teringat bencana alam yang berlaku setahun lalu.
Katanya, dia tidak dapat melupakan bunyi kuat kepala air dari ulu Sungai Slim yang datang menuju ke kawasan kampung yang turut membawa kayu balak dan pokok besar.
“Sehingga hari ini saya masih takut, masih trauma teringatkan kejadian yang berlaku di kampung ini. Sebuah jambatan yang kukuh pun boleh runtuh akibat arus kepala air yang turut membawa bersama kayu balak melanggar tiang jambatan. Kami penduduk Kampung Lintah Piong berharap agar kejadian itu tidak berulang,” katanya.
Kejadian kepala air pada 24 Ogos tahun lalu menyebabkan kira-kira 109 penduduk di beberapa buah kampung terperangkap dalam banjir selepas kejadian kepala air berlaku di Kampung Sungai Bil, Slim Village dan akibat empangan pecah di Kampung Ulu Slim, Slim Village, dekat sini.
Kejadian lewat petang itu membabitkan Kampung Sungai Bil Slim Village, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil Slim Village dan Kampung Pasir dan Eco Park RISDA di Ulu Slim, Slim Village. Ia turut menyebabkan Jambatan Lama Sungai Slim runtuh. – UTUSAN










