Penuntut warga China didakwa tikam leher bekas kekasih 

Penuntut warga China didakwa tikam leher bekas kekasih 

YOU Wei dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor semalam.-UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penuntut universiti swasta warga China berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun setelah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menikam leher bekas kekasihnya sehingga cedera parah, minggu lalu.

Tertuduh, You Wei, 22, yang menghidap kecelaruan bipolar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norazlin Othman. 

Dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Wu Jalin, 20, dengan menikam leher kiri dengan pisau yang boleh menyebabkan kematian di tingkat dua sebuah universiti swasta di Subang Jaya, pukul 6.30 petang, 14 Julai lalu. 

You didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mempeuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal tidak mencadangkan ikat jamin bagi menunggu semakan Imigresen kerana terdapat risiko tertuduh melarikan diri, manakala peguam mewakili You, Revin Kumar berkata, anak guamnya merupakan penuntut tahun tiga dan menghabiskan pengajiannya setahun lagi. 

“Dia juga menerima rawatan bipolar disorder di sebuah klinik swasta dan telah direman selama tujuh hari sejak ditahan 14 Julai lalu. 

“Anak guam saya berjanji akan terus berada di Malaysia bagi menjawab semua (dalam perbicaraan nanti). Mohon benarkan jaminan dengan syarat tambahan seperti serahan pasport dan lapor diri di balai polis,” katanya. 

Norazlin membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis manakala pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September depan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penuntut wanita cedera selepas diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×