PETALING JAYA: Tabung sumbangan untuk membantu mangsa letupan paip gas Putra Heights kurang mendapat sambutan orang ramai kerana masyarakat luar beranggapan penduduk sudah menerima banyak derma.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Kubu Sungai Baru, Mohd. Badly Nordin berkata, pihaknya tidak menerima sumbangan yang banyak dan menyukarkan pertubuhan mereka untuk menyalurkan bantuan.
Katanya, malah sumbangan tersebut penting untuk pertubuhan bagi menggerakkan aktiviti dan kos awal untuk tindakan undang-undang.
“Kami membuka tabung dana untuk membantu mangsa yang terlibat serta sebagai tanda solidariti kepada semua yang terkesan.
“Namun, sumbangan ini tidak dapat sambutan ramai kerana mereka beranggapan kami (mangsa) sudah terima banyak bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Insiden kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Mengulas lanjut mengenai kerja pembinaan semula rumah, Mohd. Badly berkata, setakat ini sebanyak 10 rumah sedang dibina semula manakala enam lagi sedang dibaik pulih di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, proses pembinaan yang perlahan itu berkemungkinan disebabkan gerak kerja kontraktor yang perlahan walaupun proses tersebut dilakukan setiap hari.-UTUSAN











