Tingkat kekuatan pertahanan laut negara

Tingkat kekuatan pertahanan laut negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU, laut menjadi cermin langit bagi pelaut Melayu, Bugis, Bajau dan Jawa. Dari perahu kecil hingga jong perkasa, nenek moyang kita menakluki gelombang, mengusung harum rempah dan nama tanah air merentasi benua. Di zaman kegemilangan Melaka, lebih 80 peratus perdagangan rempah dunia melalui Selat Melaka, di bawah layar dan keberanian bangsa kita. Kini, selat yang sama dilalui lebih 100,000 kapal setiap tahun, membawa sepertiga perdagangan global.

Sementara kita terlena di daratan, lautan tetap berdenyut dengan kehidupan dan harapan. Lebih 90 peratus perdagangan Malaysia, bernilai hampir dua trilion ringgit setahun, bergantung pada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan utama seperti Klang dan Tanjung Pelepas.

Hampir sembilan dari 10 kontena yang tiba untuk negara ini membawa bukan hanya kemewahan, tetapi keperluan hidup, beras dan tepung untuk anak-anak kita kenyang, ubat untuk menyembuhkan yang sakit, baja untuk memastikan petani dapat menuai hasil, dan cip elektronik yang memastikan kilang kita terus beroperasi.

Jika laluan ini terganggu, bukan sekadar perdagangan yang terhenti. Kehidupan jutaan rakyat juga akan terjejas. Ekonomi negara juga bukan hanya akan menjadi perlahan, tetapi ia boleh rebah dalam hanya beberapa hari. Lautan mengajar kita satu hukum purba yang penuh makna, siapa yang menguasai lautan, dialah yang menguasai masa depan negara dan kehidupan rakyatnya.

Dan di sebalik segala ini, terbentang juga peluang yang jarang disebut. Ekonomi biru yang berpotensi memberikan lebih RM6 bilion setiap tahun dari perikanan lestari, tenaga laut, pelancongan dan bioteknologi marin. RM6 bilion ini bukan hanya angka semata, ia adalah potensi pembangunan sekolah-sekolah di desa, hospital di setiap daerah dan peluang kerja buat generasi mendatang.

Potensi yang hanya akan tinggal mimpi di atas kertas jika kita tidak menjaga keselamatan laut kita. Potensi sebesar ini tidak akan bermakna jika kita sendiri tidak berani bangkit mempertahankannya.

Sayangnya, di dalam kita bergelut dengan kepayahan ekonomi dan ketidaktentuan politik, masih ada yang menganggap pelaburan pertahanan laut suatu pembaziran. Mereka ini menatap angka peruntukan dan terus menolak, seolah tanggungjawab menjaga pintu rumah sendiri adalah satu beban yang tidak wajar. Sedangkan kebanyakan kapal-kapal TLDM sudah menjangkau usia empat dekad, lebih tua daripada kebanyakkan anggota yang mengendalikannya.

Setiap kali kapal-kapal ini mengangkat sauh, pengendalinya tahu yang hanya satu kerosakan kecil sahaja sudah cukup untuk membuat mereka terdampar, tidak mampu bertindak ketika negara paling memerlukan. Namun mereka tetap belayar, meredah gelora, berdepan panas dan badai, kerana mereka tahu yang ada tanah air yang perlu dijaga dan ada laut yang tidak boleh dibiarkan tanpa penjaga.

Dari cabaran inilah lahirnya kepercayaan bahawa pembinaan kapal di limbungan tempatan bukan sekadar simbol, tetapi sebagai tanda sebuah bangsa yang masih mahu berdikari. Walaupun kita akui terdapat cabaran kelewatan, kekangan teknologi dan kekurangan pengalaman, namun hakikatnya, proses inilah yang menyuburkan kepakaran anak tempatan, mencipta ribuan peluang kerja dan mengekalkan rantaian industri maritim negara. Kapal yang lahir di bumi sendiri membawa maruah yang tidak akan dapat diukur hanya dengan wang.

Menaik taraf kapal-kapal lama pula bukanlah satu tindakan boros, tetapi langkah bijak yang sering disalahfahami. Kos menaiktaraf adalah hampir 60 peratus lebih rendah daripada pembinaan kapal baharu, masa yang diambil juga hampir separuh lebih singkat, dan ia membolehkan anak kapal terus mahir dengan aset yang mereka telah kenali luar dan dalam.

Ini semua bukan sekadar untung rugi di kertas kira-kira, tetapi pelaburan warisan, usaha untuk memastikan kita tidak bergantung semata-mata kepada orang lain untuk menjaga pintu rumah sendiri. Ia adalah pelaburan yang bukan hanya memastikan laut kita terus selamat, tetapi juga menyuburkan keberanian dan kepercayaan diri bahawa Malaysia mampu berdiri sebagai bangsa maritim yang bermaruah.

Kita sering lupa yang lautan bukanlah hanya ruang kosong di antara daratan. Ia adalah pentas yang menentukan siapa tuan dan siapa hamba. Laut ialah nafas yang tidak kelihatan tetapi tidak tergantikan. Jika kita terus berpaling, terus lena, kita hanya akan menjadi bangsa yang menunggu belas ihsan kapal asing untuk membawa rezeki kita.

Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dari tidur yang panjang ini. Sudah tiba masanya untuk kita sedar yang pelaburan untuk mempertahankan laut bukan soal bermegah dengan kapal-kapal perang terbaru, tetapi soal mempertahankan nadi kehidupan kita. Ia soal menyambung keberanian yang pernah menjadi legenda. Ia soal memastikan kehormatan nama Malaysia tidak hanya disebut di lembaran buku-buku sejarah, tetapi nama yang dihormati di persada dunia.

Janganlah ditunggu sampai pelabuhan menjadi sepi, nelayan pulang hanya membawa keluhan, dan kapal dagang mula menjauh mencari pantai lain. Jangan biarkan sampai saat itu, baru kita sedar yang laut yang pernah kita pandang sepi itulah yang menjadi saksi jatuhnya maruah dan hilangnya masa depan bangsa kita.

Seperti protagonis dalam filem Pulang, seorang pelaut berani yang meninggalkan tanah kelahiran, mengharungi samudera luas mencari rezeki dan erti sebuah pengorbanan, kita juga tidak boleh terus lena dan alpa dengan warisan maritim yang membentuk jati diri bangsa kita.

Laut bukan sekadar tempat yang kita tinggalkan, ia adalah roh yang mengalir dalam nadi bangsa ini. Ia penghubung masa lalu, hari ini dan masa depan kita. Laut adalah warisan yang memerlukan keberanian dan keteguhan hati dalam mempertahankannya. Dengan setiap gelombang, kita diingatkan bahawa masa depan negara dan kehidupan jutaan rakyat bergantung pada apa yang kita lakukan hari ini.

Bangkitlah dengan penuh semangat dan kesedaran yang tiada siapa yang akan menjaga laut ini selain kita sendiri. Inilah masa kita untuk berdiri teguh sebagai negara maritim yang benar-benar bangga dengan jati diri dan kekuatannya. Jangan biarkan laut kita menjadi senyap dan sunyi. Suarakan tekad dan berubah ke arah sejarah baharu yang lebih gemilang. – UTUSAN

LAKSAMANA Pertama, Mohd. Yusri Yusoff ialah Ketua Tim Naval Future Force Office (NFFO), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×