PM luncur tiga inisiatif strategik bantu bumiputera P. Pinang

PM luncur tiga inisiatif strategik bantu bumiputera P. Pinang

ANWAR Ibrahim (tengah) melawat reruai sempena Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh di Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Tiga inisiatif strategik oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) untuk membantu bumiputera di negeri ini diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Jurucakap MPBPP berkata, inisiatif pertama melibatkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035 yang akan menjadi panduan strategik utama dalam memacu pembangunan komuniti bumiputera di Pulau Pinang secara berterusan, inklusif dan mampan sepanjang tempoh sepuluh tahun bermula tahun depan.

“PIPBPP ini merangkumi tiga komponen teras iaitu individu dan masyarakat, ekonomi serta tadbir urus dan dasar yang melibatkan lapan sektor utama, 16 bidang tumpuan, 62 strategi dan 161 inisiatif.

“Ia dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai perunding dan penyelidik bersama MPBPP,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh di sini.

Katanya, inisiatif kedua pula merujuk kepada program Tunas Madani yang dirangka khusus untuk membina keupayaan graduan bumiputera agar beralih daripada sifat pencari kerja kepada pencipta peluang.

Katanya, ini termasuk melalui bidang keusahawanan menerusi penyediaan modul pembangunan keusahawanan yang holistik merangkumi latihan intensif, bimbingan fasilitator atau mentor industri, sokongan pembiayaan serta akses kepada pasaran. 

“Program ini turut disokong oleh jaringan kerjasama dengan agensi pembangunan usahawan, institusi kewangan dan sektor industri tempatan,” katanya.

Katanya, inisiatif terakhir iaitu projek perumahan oleh JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) melibatkan pembinaan tiga projek perumahan dengan jumlah keseluruhan 3,231 unit kediaman di Permatang Pauh dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM1 bilion.

“Inisiatif ini bertujuan membuka peluang kepada komuniti bumiputera Pulau Pinang memiliki rumah mampu milik dengan lengkap kemudahan asas dan persekitaran kondusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×