BOSTON: Syarikat perisian, Astronomer mengeluarkan kenyataan rasmi susulan skandal yang membabitkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Andy Byron, yang didakwa bermesra dengan Ketua Pengurusan Sumber Manusia syarikat itu, Kristin Cabot, di khalayak ramai ketika konsert Coldplay di Boston, Amerika Syarikat (AS).
Insiden yang dirakam secara langsung oleh kamera Jumbotron di konsert berkenaan menjadi tular di media sosial selepas memaparkan Byron, yang sudah berkahwin, kelihatan berpelukan dengan Cabot di kawasan penonton.
Lebih 24 jam selepas video itu tersebar, pihak Astronomer akhirnya mengeluarkan kenyataan menerusi platform X.
“Astronomer komited terhadap nilai dan budaya syarikat yang telah menjadi panduan kami sejak penubuhan. Pemimpin syarikat diharapkan menjadi contoh dalam aspek tingkah laku dan akauntabiliti.
“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah telah memulakan siasatan rasmi terhadap perkara ini dan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Menurut sumber yang dipetik portal Axios, Byron dan Cabot telah dikenakan cuti serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman.
Terdapat juga maklumat mengatakan kelewatan pihak syarikat mengeluarkan kenyataan adalah kerana proses rundingan berkaitan peletakan jawatan Byron dan perbincangan mengenai pakej keluar (exit package) yang sedang dirundingkan.
Untuk rekod, Byron dilantik sebagai CEO Astronomer pada tahun 2023, manakala Cabot menyertai syarikat itu sebagai Ketua Pengurusan Sumber Manusia pada tahun lepas.
Skandal ini kini menjadi perhatian umum di AS, khususnya dalam dunia teknologi dan perniagaan, apabila isu etika hubungan di tempat kerja kembali menjadi perdebatan hangat. –AGENSI










