SST buah import: FAMA jangka permintaan buah tempatan meningkat - Utusan Malaysia

SST buah import: FAMA jangka permintaan buah tempatan meningkat

ABDUL Rashid Bahri (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Pembukaan Outlet Kopiesatu di Pedas, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan permintaan buah-buahan tempatan akan meningkat susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, trend semasa menunjukkan perubahan termasuk pihak katerer yang mula menggantikan buah import dengan buah-buahan tempatan dalam sajian mereka.

Menurutnya, buah-buahan tempatan seperti pisang dan nenas kini menjadi pilihan utama pihak katerer bagi majlis-majlis rasmi kerajaan, menggantikan buah import seperti epal, oren dan anggur.

“Walaupun tiada angka rasmi dikeluarkan namun FAMA menerima banyak pertanyaan dan permintaan bekalan buah-buahan tempatan daripada penganjur program kerajaan dan swasta.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran angka namun permintaan terhadap produk tempatan memang meningkat terutama dalam program dan majlis kerajaan yang kini lebih cenderung menggunakan menu berasaskan hasil tempatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Outlet Kopiesatu di Pedas, di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan pelaksanaan SST terhadap pasaran buah-buahan, namun pihaknya yakin ia akan banyak membantu dalam Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan.

“FAMA juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperluaskan kempen menggalakkan rakyat memilih buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan dan telah diarahkan oleh kerajaan untuk memperluaskan kempen ini. 

“Sebelum ini sudah dijalankan, namun kali ini pendekatannya lebih meluas termasuk di sekolah, program Agro Madani, Hari Peladang dan FAMA Fest Peringkat Kebangsaan pada 22 Julai ini,

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga buah-buahan tempatan susulan pelaksanaan SST terhadap buah import.

“Bagaimanapun, bagi buah premium dan bermusim seperti durian, mangga dan nangka madu, harganya memang agak tinggi serta ada peminatnya dari dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×