Kekecohan pengosongan tapak peniaga Desa Pandan

Kekecohan pengosongan tapak peniaga Desa Pandan

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekecohan tercetus ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja-kerja pengosongan tapak peniaga di Jalan 2/76, Desa Pandan, semalam.

Difahamkan, kerja-kerja perobohan tapak perniagaan tersebut yang dijadualkan pada 15 Julai terpaksa ditangguhkan ekoran insiden kekecohan yang berlaku di kawasan terbabit.

Menurut kenyataan DBKL, projek menaik taraf jalan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga kota.

Bagi tujuan itu, DBKL telah menyelaraskan proses pengosongan peniaga yang terlibat melalui pendekatan libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada persatuan serta peniaga terlibat.

“Lesen perniagaan bagi sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari lalu dan semua peniaga dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari serta diarahkan mengosongkan tapak dalam tempoh ditetapkan,” katanya semalam.

Tambah DBKL, notis pengosongan akhir dikeluarkan pada 4 Julai sebelum tindakan perobohan dijadualkan dilaksanakan minggu ini.

Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut terpaksa ditunda selepas berlaku kekecohan membabitkan sebahagian peniaga yang enggan mengosongkan premis mereka.

DBKL dalam pada itu menegaskan bahawa semua proses telah dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada termasuk rundingan bersama pihak terlibat.

“DBKL yakin projek menaik taraf ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Desa Pandan dari segi infrastruktur, keselamatan dan kemudahan awam,” katanya.

DBKL turut memberi jaminan akan terus komited melaksanakan pembangunan bandar secara inklusif dan bertanggungjawab demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×