SABAN hari kita membaca di akhbar tentang kesalahan demi kesalahan yang dilakukan, akhirnya membawa kepada hukuman penjara.
Tidak dinafikan sistem keselamatan dan keadilan di Malaysia antara yang sangat efisien dan hukuman dijatuhkan bersesuaian dengan kesalahan.
Akan tetapi, alangkah baiknya jika sistem ini juga bersifat komprehensif, di mana setelah hukuman dijatuhkan, intervensi terhadap implikasi jangka pendek dan panjang juga perlu di perhalusi, termasuklah kepada banduan yang berada di dalam serta luar penjara.
Bila berbicara tentang banduan yang menjadi penghuni di dalam penjara, umum ketahui mereka hanya dibekalkan dengan keperluan asas seperti bilik sel, pakaian harian, alatan kebersihan diri serta makanan ruji. Tidak ketinggalan bekalan berbentuk rohani serta jasmani diberikan seperti kelas keagamaan bagi memberi peluang kepada mereka mendekati agama masing-masing dan memaknai kehidupan baharu.
Dari sudut jasmani pula, banduan diberi pendedahan kemahiran yang pelbagai seperti kemahiran memasak, menjahit, mencuci mahupun menukang. Semua ini adalah ilmu dan kemahiran yang wajar kepada mereka untuk memenuhi rutin harian sekali gus mempersiapkan diri kepada kehidupan semasa keluar daripada penjara kelak.
Walau bagaimanapun, sejauh mana mereka benar-benar menghargai dan menggunapakai ilmu dan kemahiran yang dipelajari sesama di dalam dan diluar penjara?
SOKONGAN
Daripada sudut psikologi, bagi memastikan mereka mencapai celik akal serta mempunyai daya tindak optimum, beberapa perkara perlu dipertingkatkan. Antaranya intervensi transisi kepada banduan. Intervensi transisi ini terbahagi kepada transisi awal; iaitu semasa serta tempoh-tempoh akhir di penjara sebelum kembali ke masyakarat dan keluarga.
Intervensi transisi ini memerlukan sokongan dan bantuan yang pelbagai seperti sokongan berbentuk sosial dan emosi berpanjangan, bimbingan pengurusan emosi dan tekanan, psikopendidikan, kemahiran daya tahan diri dan seterusnya bimbingan kewangan serta kerjaya.
Tanpa sokongan dan bimbingan, bekas banduan bakal terkesan dengan fasa peralihan. Fasa peralihan ini termasuklah semasa dijatuhkan hukum dan hukuman hampir tamat. Fasa-fasa ini boleh memberi kesan ke atas psikologi seseorang banduan seperti penafian, putus harapan, kerisauan, kekecewaan yang berpanjangan serta kemurungan dan lain lain lagi.
Impak psikologi ini terhasil bila mana tiada persediaan yang baik dilakukan serta sokongan yang kurang diterima oleh seseorang individu. Selain daripada itu, fasa hampir sama bakal berlaku kepada bekas banduan yang selesai menjalani hukuman di penjara dan berhasrat untuk pulang ke masyarakat.
Mungkin segelintir sahaja daripada mereka benar-benar mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk kembali berfungsi bersama masyarakat.
Selebihnya mungkin bergelut dengan kelangsungan hidup dan boleh jadi hanya mengharapkan bantuan daripada individu-individu ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Lebih parah lagi mungkin mereka tergolong dalam kategori gelandangan ataupun kembali semula kepada kegiatan haram yang lampau.
Mungkin ada mengatakan itulah balasan selayaknya diterima atas kesalahan dilakukan tetapi tanpa sedar, kita hanyalah sebahagian daripada masyarakat yang penuh dengan prejudis dan diskriminasi.
Dalam tidak sedar kita menjatuhkan hukum dan boleh jadi memberi layanan yang teruk kepada mereka kerana rasa benci. Tetapi siapalah kita untuk terus menghukum kerana yang selayaknya adalah Allah Yang Esa.
Setiap dugaan dan cabaran yang mereka jalani barangkali diampuni dan diganjari-Nya. Kita sebagai masyarakat, sebenarnya diduga dan diuji sama ada menjalankan tanggungjawab dengan sewajarnya ataupun tidak kepada mereka untuk keluar daripada kegusaran ini.
CAKNA
Berikan ruang masa kita untuk mereka rasa didengari, dekati dengan ilmu dan agama supaya sama-sama dapat belajar daripada pengalaman.
Wujudkan tujuan kehidupan yang bermatlamat, luangkan masa menziarahi mereka supaya mereka rasa diterima oleh masyarakat sekalipun tiada pertalian darah yang terkait.
Akhir sekali, titipkan doa dan harapan kepada mereka supaya diringankan segala cabaran dan halangan sepanjang menjalani hukuman di penjara. Jangan biarkan mereka meletakkan masa-masa di penjara sebagai penamat bagi kehidupan di dunia ini.
Berikan mereka peluang yang berterusan supaya dapat dikembalikan keyakinan diri dan daya tahan diri yang tinggi. Kedua-dua ini penting bagi meneruskan kehidupan selepas menjalani hukuman di penjara selain perlu berdepan tohmahan dan kejian masyarakat.
Keduanya juga penting bagi memberi mereka nilai pengharapan yang tinggi dengan nikmat rezeki Allah SWT sediakan kepada hamba-Nya sekiranya mereka menempuh kegagalan demi kegagalan di hari yang mendatang.
Ia mengingatkan kita tentang kisah Nabi Yusuf yang pernah dipenjarakan dahulu atas kesalahan yang bukan dilakukannya. Pengalaman berada di penjara mematangkanya dari sudut iman dan nurani.
Kisahnya bukan sekadar dapat diteladani tetapi juga perlu dicontohi. Baginda diangkat menjadi pemerintah tidak lama selepas bebas daripada penjara. Ini membuktikan kehidupan di penjara bukanlah tempat kurungan semata sebaliknya ruang pembelajaran bagi membentuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna.
Menjadi tanggungjawab semua bagi membantu mereka untuk pulang, pulang ke dakapan keluarga dan masyarakat dengan lebih harmoni. Bukan setakat individu, komuniti sejagat, pembuat dasar, agamawan, usahawan, pentadbir, ahli akademik, golongan professional mahupun pelajar, setiap daripada kita ini dianjurkan untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada mereka.
Tanggungjawab bersama ini dapat memberi impak positif kepada proses transisi mereka kepada masyarakat dan sekali gus memecahkan stigma terhadap bekas banduan.
Rakyat juga lebih bersikap empati dan terbuka dalam menerima mereka semula ke dalam kefungsian masyarakat, seterusnya memberikan mereka rasa diterima serta dihargai.
Hasil kerjasama ini dapat mewujudkan rantaian jaringan yang kukuh antara banduan, penguatkuasa penjara dan masyarakat dalam membantu membina semula kehidupan baharu banduan dengan lebih praktikal dan mampan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah, Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan (KOED),Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










