Trump lantik duta tiada kredibiliti - Utusan Malaysia

Trump lantik duta tiada kredibiliti

NICK ADAMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencalonan tokoh politik konservatif, Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia disifatkan sebagai tidak layak, tidak berwibawa dan mencemarkan nilai hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Portfolio Hal Ehwal Luar Negeri Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencalonkan individu yang langsung tidak mempunyai latar belakang diplomasi adalah satu penghinaan terhadap Malaysia.

“Nampaknya Trump ini tidak menghormati kita. Pencalonan ini langsung tidak sesuai kerana beliau tiada pengalaman, latar peribadi yang tercalar serta tiada kredibiliti.

“Sebagai wakil rasmi Washington, beliau tidak secocok langsung untuk berkhidmat di Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal turut mengeluarkan kenyataan rasmi yang menggesa kerajaan Malaysia agar segera mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan Amerika Syarikat berhubung pencalonan Adams.

Ahmad Fayhsal berkata, latar belakang calon yang dipilih amat membimbangkan kerana Nick Adams dikenali sebagai tokoh sayap kanan tegar yang sering mengeluarkan kenyataan seksis, menyokong ideologi ekstrem pro-Israel dan tidak pernah berkhidmat dalam mana-mana agensi diplomatik.

Lebih membimbangkan, katanya, pencalonan Adams berlaku serentak dengan tindakan pentadbiran Trump yang mengenakan tarif khas terhadap eksport Malaysia, menjadikan negara ini satu-satunya dalam ASEAN yang menjadi sasaran tekanan ekonomi secara terbuka oleh Washington.

“Pencalonan ini tidak boleh dilihat secara berasingan. Ia hadir bersama isyarat politik yang tidak bersahabat terhadap Malaysia.

“Sebagai negara berdaulat, kita berhak menolak mana-mana calon duta yang tidak menghormati nilai serta kepentingan kita,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Malaysia wajar menggunakan kuasa di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961) untuk tidak memberikan persetujuan rasmi (agreement) terhadap pencalonan berkenaan.

“Malaysia tidak boleh menerima seorang duta yang bukan sahaja tidak mempunyai kelayakan, malah membawa imej dan ideologi yang bertentangan dengan semangat hubungan diplomatik. Maruah negara mesti dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini