PETALING JAYA: Kepemimpinan Pas perlu mencontohi pendekatan dakwah bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang sering dilihat mendekati rakyat melalui aktiviti keagamaan, termasuk menunggang basikal ke masjid.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan masyarakat, malah turut mengangkat syiar Islam yang menjadi teras perjuangan parti.
“Elok sangat kalau pimpinan Pas tiru macam bekas MB (Menteri Besar) Kelantan, ambil gambar kayuh basikal ke masjid subuh-subuh hari. Ambil juga gambar bersalaman dengan jemaah selepas solat, bergambar dengan anak-anak muda di masjid atau ketika konvoi subuh seperti pagi Jumaat.
“Ia bukan untuk riak, tetapi untuk mengangkat izzah (martabat) parti dan kepemimpinan di mata rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial, di sini hari ini.
Mokhtar menegaskan usaha memperkasakan masjid dan aktiviti keagamaan dalam kalangan generasi muda jauh lebih bermanfaat daripada penganjuran program berbentuk hiburan.
“Galakkan ahli dan anak muda ke masjid, hayati Islam. Itu lebih baik daripada ajak mereka menyanyi sana sini yang tidak membangunkan syiar Islam.
“Kalau mahu tunjukkan sesuatu, lebih baik tunjuk kita boleh baca al-Quran daripada tunjuk kita pandai menyanyi,” katanya.
Beliau menjelaskan tegurannya itu adalah sebagai satu saranan ikhlas buat kepemimpinan parti dan terpulang sama ada mahu menerima atau sebaliknya.
“Saya tegur dan saran sahaja. Nak pakai, pakailah. Tak nak, itu hak masing-masing. Tapi belum tentu semua alasan kita diterima Allah dan diterima ahli. Jangan sampai orang senyum di depan, tapi menyampah dalam hati,” katanya.
Saranan Mokhtar itu dilihat selari dengan pendirian Dewan Ulama Pas yang sentiasa menekankan pendekatan dakwah bil hal iaitu melalui perbuatan, akhlak dan contoh teladan dalam memartabatkan Islam sebagai cara hidup.
Tanpa menyebut nama pemimpin tertentu, beliau antara pemimpin Pas yang lantang bersuara dan mahu pimpinan parti terus dikuasai oleh kumpulan ulama, menjelang Muktamar Pas, pada September ini.-UTUSAN










