NEW DELHI: Bekalan bahan api ke enjin pesawat Air India yang terhempas dan membunuh 260 orang bulan lalu, dipercayai terputus hanya beberapa saat selepas berlepas, menurut laporan awal siasatan.
Penerbangan AI171, pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London, terhempas di kawasan kejiranan padat di Ahmedabad pada 12 Jun, mengorbankan 241 penumpang dan 19 orang di darat.
Tragedi itu menjadikannya nahas udara paling dahsyat dalam tempoh satu dekad.
Di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, negara yang menyiasat insiden diwajibkan mengemuka laporan awal dalam tempoh 30 hari selepas kejadian.
Laporan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) mendapati suis kawalan bahan api di dalam kokpit beralih ke kedudukan ‘cutoff’.
Laporan awal turut merakam detik kritikal sebelum nahas, apabila pesawat mencapai kelajuan maksimum dan sejurus selepas itu, suis pemotong bahan api untuk enjin 1 dan enjin 2 berpindah daripada kedudukan ‘run’ ke ‘cutoff‘ dalam jarak masa satu saat.
Pesawat kemudian dilaporkan mula kehilangan ketinggian sebelum sempat melepasi tembok perimeter lapangan terbang.
Siasatan turut mendedahkan perbualan antara dua juruterbang yang menunjukkan salah seorang bertanya kenapa bahan api diputuskan, dan seorang lagi menjawab dia tidak melakukannya.
Laporan tidak mengenal pasti juruterbang yang membuat pertanyaan mahupun memberi jawapan, selain tiada menyatakan sama ada kapten atau pembantu juruterbang menghantar isyarat kecemasan beberapa saat sebelum pesawat terhempas.
“Pada peringkat siasatan ini, tiada tindakan atau saranan dikeluarkan kepada pengendali atau pengeluar pesawat Boeing 787-8 dan enjin GE GEnx-1B,” menurut laporan AAIB.
Laporan tersebut juga mendedahkan, sekurang-kurangnya lima bangunan musnah apabila pesawat menjunam ke kawasan kediaman di Ahmedabad.
Sebanyak 19 nyawa turut terkorban di darat, selepas pesawat merempuh sebuah asrama pelajar perubatan yang terletak bersebelahan Kolej Perubatan dan Hospital Awam Byramjee Jeejeebhoy, berhampiran lapangan terbang.- THE GUARDIAN










