Trump tuduh dua bekas ketua FBI, CIA tidak jujur, mungkin dikenakan hukuman - Utusan Malaysia

Trump tuduh dua bekas ketua FBI, CIA tidak jujur, mungkin dikenakan hukuman

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa dua bekas ketua agensi perisikan iaitu James Comey (FBI) dan John Brennan (CIA) sebagai individu yang “tidak jujur”, sambil memberi amaran mereka mungkin akan “menanggung akibat” atas tindakan mereka.

Trump mengulas ketika ditanya mengenai siasatan jenayah yang dijalankan terhadap kedua-dua tokoh yang dikenali sebagai pengkritik lantang pentadbirannya.

Beliau menyatakan tidak mengetahui butiran lanjut, kecuali daripada apa yang dibacanya di media.

“Namun, saya boleh katakan mereka adalah orang yang sangat tidak jujur, dan mereka perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka,” katanya.

Laporan awal oleh Fox News Digital mendedahkan Comey dan Brennan kini disiasat atas dakwaan “kemungkinan salah laku”, termasuk berkaitan siasatan campur tangan Russia dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016 dan dakwaan memberi kenyataan palsu kepada Kongres.

Memetik sumber Jabatan Kehakiman, laporan itu turut menyebut Pengarah CIA semasa, John Ratcliffe, yang dilantik Trump, telah menyerahkan bukti salah laku terhadap Brennan kepada Pengarah FBI, Kash Patel, juga seorang lantikan Trump, untuk tindakan pendakwaan selanjutnya.

Jurucakap Jabatan Kehakiman bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

Comey dan Brennan masing-masing dilantik ke jawatan tinggi perisikan oleh bekas Presiden Demokrat, Barack Obama, dan hubungan mereka dengan Trump menjadi tegang sejak awal pentadbirannya.

Trump memecat Comey pada 2017 ketika beliau mengetuai siasatan mengenai kemungkinan kolaborasi antara kempen Trump dan kerajaan Rusia dalam mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Presiden 2016 menentang calon Demokrat, Hillary Clinton.

Siasatan tersebut kemudiannya dikendalikan oleh Penasihat Khas Robert Mueller, yang mengesahkan terdapat campur tangan Rusia untuk menyokong Trump, tetapi tidak menemui bukti kukuh bahawa kempen Trump berkomplot secara langsung dengan Moscow.

Pada 2018, Trump juga membatalkan kelayakan keselamatan Brennan, dengan menuduh bekas ketua CIA itu mengeluarkan tuduhan melampau dan tidak berasas terhadap pentadbirannya.

Sejak memulakan penggal baharu pada Januari lalu, Trump telah mengambil beberapa langkah yang dilihat bersifat menghukum terhadap pihak yang dianggap musuh politiknya. Ini termasuk menarik balik kelayakan keselamatan bekas pegawai, menyasarkan firma guaman terlibat dalam siasatan terdahulu, dan memotong dana persekutuan ke atas universiti tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×