Tugas berat menanti FAM

Tugas berat menanti FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu langkah yang tepat jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diberikan mandat sepenuhnya untuk menjaga Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD).

Bagaimanapun, badan induk bola sepak negara itu perlu bersedia dengan tugas berat untuk melakukan semakan semula secara menyeluruh kepada dua entiti yang memainkan peranan membangunkan bakat akar umbi itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, perkara utama yang perlu dilakukan FAM jika mengambil alih NFPD dan AMD ialah menyemak semula kenapa kedua-dua program ‘belum berjaya’.

“Saya tidak kata gagal, tetapi saya guna istilah ‘belum berjaya’. Belum berjaya dalam banyak aspek termasuk gagal melahirkan pemain yang berkualiti untuk menembusi pasaran Eropah contohnya, serta apa pencapaian lain yang boleh dibanggakan.

“Langkah pertama FAM kena buat ialah wujudkan penyelidikan bertaraf tinggi, semak semula apa yang NFDP dan AMD telah buat selama ini, adakah penuhi kehendak yang diinginkan, jika tidak matlamatnya kena susun balik.

“Antara yang perlu diberikan perhatian ialah tengok pelantikan jurulatih, adakah kena buat lantikan baharu di NFDP dan AMD. Saya tidak ada data, tetapi saya rasa banyak jurulatih baharu di situ. Timbul persoalan, kenapa jurulatih yang berjaya tidak dilantik.

“Contohnya Wan Jamak Wan Hassan (bekas jurulatih kebangsaan) yang boleh bantu jurulatih muda, Wan Jamak ada banyak pengalaman, menang piala di peringkat domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan badan induk itu bersedia jika pihaknya diberikan tanggungjawab penuh untuk menjaga NFDP dan AMD.

Menurut Zulakbal, entiti mana sekali pun yang diberikan tugas menjaga NFDP dan AMD perlu berani meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) tinggi yang boleh dijadikan kayu pengukur kepada kedua-dua program pembangunan itu.

Bagaimanapun kata Zulakbal, wujud juga kebimbangan jika FAM diberikan kuasa penuh kerana Majlis Sukan Negara (MSN) lebih pakar dalam pengurusan kewangan dan sewajarnya dipegang oleh pengelola sukan negara itu.

“Menang jika serah kepada FAM langkah tepat kerana MSN jaga berpuluh sukan, bagaimanapun saya bimbang dari segi pengurusan kewangan sepatutnya dipegang bawah MSN. Mereka masih masih lagi boleh kendalikan tetapi dengan kerjasama FAM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×