PETALING JAYA: Kertas siasatan berkaitan Himpunan Rakyat Bebas Rasuah 2.0 di ibu negara pada 29 Jun lalu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut pada 2 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, seramai 19 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada 11 saksi polis, empat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua masing-masing wartawan dan peserta himpunan,” katanya.
Minggu lalu, polis memaklumkan telah meneliti rakaman kamera dan bahan bukti lain yang diperoleh ketika perhimpunan itu.
Pada 29 Jun lalu, polis menerima tiga laporan berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah.
Laporan dibuat susulan insiden seorang peserta daripada Gabungan Mahasiswa menyalakan suar hingga mengakibatkan kepulan asap tebal di lokasi perhimpunan kira-kira pukul 4.30 petang.
Tindakan itu dilihat menimbulkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada peserta lain, petugas keselamatan serta orang awam.
Bagi mengelakkan asap suar terus merebak, polis menjalankan tindakan pencegahan, namun berlaku pergelutan antara peserta dengan anggota polis.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta sama.-UTUSAN










