PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pelantikan Adzwan Abdul Manas sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Rembau, Negeri Sembilan telah ditarik balik susulan timbul isu pertindihan kepentingan yang bertentangan dengan dasar kesihatan semasa kementerian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelantikan berkenaan antara 2,860 pencalonan yang diterima KKM untuk mengisi jawatan ALPH di 143 hospital di seluruh negara.
Katanya, setiap pencalonan telah melalui proses tapisan berdasarkan penilaian dan syor daripada pelbagai pihak termasuk hospital, Exco Kesihatan Negeri serta pemimpin masyarakat setempat.
“Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen pertindihan kepentingan atau conflict of interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.
“Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Hospital Rembau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkefly mengakui bahawa kelemahan dalam pelantikan itu telah memberi impak terhadap persepsi umum terhadap KKM dan memberi jaminan bahawa proses pelantikan ALPH akan disemak dan diperketatkan.
“Saya memberi jaminan proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan awam negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan KKM komited memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip dalam menyokong agenda kesihatan awam. – UTUSAN










