Kadangkala persahabatan diuji dengan salah faham, perbezaan pendapat dan orang ketiga.
Sekiranya sahabat itu pernah mengecewakan dan kembali dengan penuh keinsafan, sahabat yang ikhlas tetap akan memaafkan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Mimi (bukan nama sebenar) yang pernah terperangkap dalam cinta seorang lelaki sehingga sanggup menyisihkan keluarga dan sahabat rapat.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh Sofea (bukan nama sebenar) dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini.
Sofea dan Mimi bersahabat baik sejak dari sekolah rendah, menengah hingga melangkah ke menara gading.
Hubungan mereka bukan sekadar sahabat tetapi seperti adik-beradik.
Mereka tinggal di kampung sama, malah kedua-dua keluarga mereka juga sangat rapat.
Menurut Sofea, segala-galanya bermula selepas sahabat baiknya itu mengenali seorang lelaki bernama Faizal (bukan nama sebenar).
Sejak Mimi hanyut dalam perhatian lelaki berusia pertengahan 30an itu, tanpa sedar dia menjauhkan diri daripada Sofea.
Sofea tidak pernah cemburu bila sahabatnya itu memiliki teman lelaki.
“Kebahagiaan Mimi adalah sebahagian kebahagiaan saya, tetapi apabila dia membelakangkan keluarga dan memutuskan hubungan persahabatan kami, ia benar-benar membuatkan saya sedih dan kecewa,” ujarnya.
Namun, apabila sahabat baiknya itu kembali setahun selepas itu dengan keadaan hilang arah, lemah dan memerlukan tempat bergantung, dia tetap menghulurkan tangan.
Bukan kerana dia lupa apa yang berlaku, tetapi hatinya tidak pernah menyimpan perasaan benci.
Katanya, persahabatan mereka selama ini adalah kerana Allah dan berlandaskan keikhlasan.
Menyingkap kisah lalu, kata Sofea, konflik sebenar timbul apabila Mimi mengambil keputusan untuk mengahwini Faizal selepas tiga bulan berkenalan.
Berita itu benar-benar mengejutkan Sofea dan keluarga Mimi.
Kedua ibu bapa Mimi membantah keras memandangkan dia masih belum tamat pengajian.
Apabila hasrat mengahwini lelaki pilihan ditolak, Mimi nekad berkahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan semua.
Akui Sofea, sejak Mimi berkahwin, kehidupannya juga berubah.
Dia bukan sahaja kehilangan sahabat baik, tetapi turut menanggung kesan daripada perbuatan Mimi.
“Ibu Mimi sering menghubungi saya dan meluahkan kekecewaannya.
“Saya juga sering didesak mencari Mimi, sedangkan saya sendiri tidak tahu keberadaannya dan gagal dihubungi,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai sahabat baiknya itu, kata Sofea, Mimi adalah anak perempuan sulung daripada tiga beradik yang menjadi harapan keluarga.
Sejak kecil, dia dikenali sebagai pelajar cemerlang.
“Rezeki kami dapat melangkah ke universti sama. Daripada situ kami mula berjanji untuk membanggakan keluarga dan menggenggam cita-cita menjadi jurutera.
“Namun segalanya berubah apabila di tahun pertama Mimi mengenali Faizal semasa hari terbuka di kampus,” katanya.
Pada awalnya, hubungan mereka sekadar kawan biasa, tetapi perhatian dan kesungguhan yang ditunjukkan lelaki itu perlahan-lahan mencuri perhatian Mimi.
Menurut Sofea, pada awal janji temu dengan lelaki itu, dia turut menemani Mimi.
Namun selepas dua kali pertemuan, sikap Mimi mula berubah. Dia makin kerap keluar berseorangan tanpa minta ditemani.
Tanpa sedar, Mimi semakin jauh daripadanya. Daripada sering belajar bersamanya, kini masa Mimi lebih banyak keluar bersama Faizal.
Sofea cuba menegur dan menasihati Mimi, tapi setiap kali bersuara, sahabatnya itu tarik muka.
“Apa yang membuatkan saya terkejut, Mimi sanggup meninggikan suara dan meminta saya tidak lagi campur tangan dengan urusannya,” imbasnya.
Pada cuti semester Jun 2012, Sofea dikejutkan dengan berita perkahwinan Mimi.
Berita itu disampaikan oleh adik bongsu Mimi.
Keluarga terutama ibu bapa mereka kecewa dengan tindakan Mimi berkahwin di sempadan.
Menyambung cerita, kata Sofea, beberapa bulan selepas berkahwin, Faizal mula menunjukkan sikap sebenar.
Faizal suka mengongkong, cemburu buta dan cepat naik tangan.
Mimi juga tidak dibenarkan menyambung pengajian seperti dijanjikan sebelum mereka berkahwin.
Sepanjang tempoh berkahwin, Faizal tidak membenarkannya untuk keluar dan berhubung dengan sesiapa.
Sehinggalah pada suatu hari, kata Sofea, dia menerima panggilan daripada Mimi.
Suaranya seperti ketakutan dan setelah didesak, Mimi menceritakan kehidupannya selepas berkahwin.
Mimi benar-benar menyesal membelakangkan keluarga hanya semata-mata termakan janji manis seorang lelaki.
Selepas kembali ke pangkuan keluarga, Mimi mengambil keputusan untuk bercerai.
Mimi nekad berpisah kerana tidak tahan dengan penderaan emosi, mental dan fizikal yang dilakukan Faizal.
Selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, prosesnya tidak mudah dan sangat memenatkan.
Mimi terpaksa turun naik mahkamah.
Sebagai seorang sahabat, Sofea tidak pernah sekalipun meninggalkan Mimi.
Lebih-lebih lagi dia telah diamanahkan oleh kedua ibu bapa Mimi agar menjaga anak mereka.
Selepas hampir setahun berjuang, mahkamah akhirnya memutuskan perkahwinan Mimi dan Faizal terbubar dengan talak satu.
Mimi kembali menyambung pengajiannya yang tertangguh dan perlahan-lahan membina semula kehidupannya.
Sofea berkata, selepas apa yang berlaku dia belajar satu perkara iaitu persahabatan bukan hanya tentang ketawa bersama, tetapi siapa yang tetap bersama ketika susah dan senang.
“Persahabatan yang ikhlas akan tetap bertahan walaupun diuji. Saya percaya, Allah bukan sahaja menguji Mimi, tetapi juga keluarga dan persahabatan kami,” ujarnya.
Sesungguhnya, hubungan persahabatan sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana firman Allah SWT, “Sebenarnya orang-orang beriman adalah mereka yang bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu memperoleh rahmat,” (Al Hujurat: 10).









