Kenapa salahkan generasi Z jika mereka terlalu dimanjakan?

Kenapa salahkan generasi Z jika mereka terlalu dimanjakan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPAIAN terhadap peluang pendidikan formal menyeluruh serta pelbagai kemudahan disediakan kerajaan seharusnya menjadi pemangkin kelahiran generasi muda yang lebih hebat, berdaya saing dan berketerampilan tinggi berbanding generasi terdahulu.

Namun begitu, di sebalik segala inisiatif dan usaha yang digerakkan, persoalan timbul, di manakah silapnya apabila kita kini berhadapan generasi baharu yang sering digambarkan tidak memiliki semangat juang yang utuh? Generasi Z, khususnya, sering dilabel sebagai kelompok yang gemar mengambil mudah sesuatu perkara dan kurang bertanggungjawab dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ada juga melabelkan generasi Z sebagai malas, lemah dan tidak sanggup bekerja kuat. Persoalannya, sejauh manakah kebenarannya? Jika benar, hal ini tidak harus dipandang ringan kerana turut melibatkan soal pembinaan generasi baharu pada masa hadapan.

Jika generasi Z dikatakan bermasalah, bagaimanakah keadaan generasi Alfa, Beta dan seterusnya yang akan mereka bina nanti? Masalah ini akan berlarutan dan bertambah buruk jika tindakan tuntas tidak diambil bagi mengatasinya.

Generasi Z dibesarkan dalam dunia berteknologi tinggi yang sangat menitikberatkan nilai material. Kebanyakan ibu bapa berusaha sedaya upaya bagi menyediakan apa sahaja yang mampu mereka berikan untuk anak-anak mereka sebagai tanda kasih sayang.

Malah ada yang menurut apa sahaja kemahuan anak-anak tanpa berfikir sekiranya ia benar-benar baik untuk mereka. Sering kali juga pemberian material dijadikan pengganti kepada perhatian yang tidak dapat mereka berikan kepada anak-anak.

Secara umumnya, ramai dalam kalangan generasi Z tidak dididik dengan disiplin yang ketat berasaskan peraturan kukuh, baik di rumah mahu pun di sekolah. Ramai yang enggan menegur dan menasihati anak-anak kerana dikhuatiri akan mengongkong daya fikir mereka.

Persoalannya, jika cara didikan yang dikira terbaik bagi melahirkan generasi yang kreatif, bijak dan mampu berfikir di luar kotak ini diguna pakai untuk mendidik anak-anak generasi Z, bukankah sepatutnya mereka tidak mempunyai masalah sikap sebegini?

Namun, oleh kerana berlakunya masalah tersebut dalam kalangan generasi Z, maka sudah pasti terdapat elemen lain yang perlu diterapkan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak tetapi mempunyai semangat kental, kuat, lagi berdaya saing.

Keghairahan mengejar kejayaan material semata-mata mengetepikan nilai insani. Akibatnya, wujudlah kekosongan dalam jiwa manusia. Justeru, kelompongan ini perlu diisi dengan nilai-nilai seimbang agar kita menjadi insan yang kuat jati dirinya.

Bagi mencapai tujuan itu, kita memerlukan pendidikan secara holistik yang bukan hanya mementingkan kejayaan akademik semata-mata. Ia juga harus merangkumi penerapan nilai-nilai kemanusiaan, kesedaran tentang kepentingan menjaga kemampanan dunia serta nilai-nilai penting lain.

Seperti yang kita selalu dengar sejak kebelakangan ini, nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebenarnya boleh diguna pakai dalam aspek pembinaan insan. Ini penting bagi membentuk generasi berilmu, bertanggungjawab dan berbudaya tinggi, di samping berupaya memacu kemajuan dengan cara yang tidak memudaratkan kesejahteraan sejagat.

Manusia bukan hanya harus menjaga hubungan sesama manusia tetapi juga dengan alam sekitar kerana hidup kita saling kait-mengait dan saling perlu-memerlukan. Kita harus menjaga keseimbangan alam kerana ia kunci kesejahteraan kehidupan di bumi ini.

 

GENERASI Z sering kali dilabel sebagai malas, lemah dan tidak sanggup bekerja kuat.

MAMPAN
Maka, penting bagi kita untuk mengambil langkah menjaga kemampanan masyarakat dunia. Kemampanan bukan sekadar pada alam sekitar tetapi setiap aspek kehidupan termasuklah ilmu, budaya dan sudut kerohanian diri. Dengan inilah jiwa kita dapat sentiasa terisi.

Membudayakan ilmu dalam masyarakat itu penting bagi membentuk masyarakat yang cemerlang, makmur dan bertoleransi. Ia menjadi kunci kepada kesejahteraan semua. Orang muda juga perlu diperkasa dengan ilmu, keinginan dan kesungguhan agar berdaya usaha dan cipta.

Hanya dengan didikan dan ilmu akan adanya nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat seperti sikap rajin, hormat-menghormati serta ihsan secara umumnya. Inilah salah satu perkara yang sangat kurang dalam kalangan orang muda kini.

Setiap kali marah sahaja hendak memberontak. Begitulah sikap ramai dalam kalangan orang muda yang tidak tahu batas dunia. Ramai bersikap angkuh merasakan diri terlalu pandai, walaupun diri sendiri masih kekurangan ilmu pengetahuan. Tiada juga sifat kemanusiaan yang menghormati perbezaan antara satu sama lain serta menghormati mereka yang lebih berpengetahuan.

Orang muda juga sering kekurangan keyakinan diri, membawa kepada kesihatan mental yang merosot dan menjadikan mereka mudah lesu. Akibatnya, mereka tidak bersemangat untuk melakukan apa-apa dan sering merasakan diri dipaksa untuk melakukan perkara seperti belajar dan bekerja.

Segala ini berbalik kepada cara mereka dididik sejak kecil. Apabila kita membesar dalam sebuah dunia yang terlalu berkiblatkan kebendaan, pandangan kita semakin kabur sehingga segala-galanya hanya dilibat dari sudut material sahaja. Kita menjadi semakin rakus dan mengabaikan sifat manusiawi.

Justeru, penerapan nilai-nilai sebegini ini akan membantu membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan. Langkah tuntas mesti diambil untuk menyepadukan nilai-nilai murni ini ke dalam kehidupan.

Kecerdikan tanpa akhlak yang mulia, sifat ihsan, sikap bertanggungjawab dan amanah akan membawa penyalahgunaan ilmu. Kemajuan teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kesejahteraan manusia akhirnya akan menjadi senjata ampuh yang bukan sahaja membinasakan manusia tetapi turut membawa malapetaka.

Tanamkanlah nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak kita seterusnya. Jangan ulangi kesilapan lampau dan biarkan anak-anak terjebak dengan pengaruh buruk.

Usah juga sibuk menuding jari akan setiap perkara. Daripada sibuk memainkan naratif yang mencetus pergaduhan, lebih baik kita bekerjasama dan mencipta perubahan. Tiada gunanya membakar kelambu hanya untuk seekor nyamuk.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×