MEDIA pada Februari lalu memetik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai berkata, hampir 39.5 peratus responden saringan kesihatan mental dikesan berisiko mengalami kemurungan.
Hasil tinjauan kebangsaan berkaitan kesihatan dan morbiditi pada 2022 pula mendapati sekitar 9,415 orang atau 11.2 peratus wanita mengalami kemurungan selepas bersalin.
Sementara itu, seorang pelajar yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah di George Town, Pulau pinang pada November tahun lalu dipercayai mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Kes seorang guru ditemui meninggal dunia di rumahnya tanpa disedari sesiapa pada Jun lalu juga dikaitkan dengan masalah kemurungan.
Ternyata di sebalik kesibukan hidup seharian, keriuhan media sosial, tawa yang dipaksa dan senyum dibuat-buat, semakin ramai kanak-kanak, remaja, belia, malah orang dewasa sedang hanyut dalam kesunyian yang tidak terlihat.
Mereka bernafas, bergerak, membalas mesej dan hadir ke majlis tetapi sebenarnya sedang karam perlahan-lahan. Kemurungan bukanlah seperti histeria yang bergema dengan suara nyaring. Sebaliknya ia umpama kesepian yang membunuh secara senyap.
Kemurungan dalam istilah klinikal ialah sejenis gangguan emosi yang kronik dan menjejaskan keupayaan seseorang berfungsi secara normal. Harus disedari ia bukan sekadar kesedihan harian atau perasaan kecewa sementara.
Sebaliknya, ia menjerut perlahan, menjadikan seseorang tidak lagi berminat terhadap kehidupan, tidak mampu menikmati apa-apa dan seringkali dibebani perasaan bersalah, tidak berguna atau menganggap dirinya gagal dalam hidup.
Tanda-tanda klinikal kemurungan tidak boleh diabaikan. Individu yang terjejas mungkin mengalami gangguan tidur, perubahan selera makan, keletihan berpanjangan serta kesukaran menumpukan perhatian.
Dalam sesetengah kes ekstrim, mereka memikirkan soal kematian kerana putus asa. Kemurungan menyelinap masuk tanpa ketukan dan jika dibiarkan, boleh menghancurkan individu itu dari dalam.
Namun, seperti segala penyakit, kemurungan juga ada puncanya. Wajarlah kita mengambil tahu serba sedikit perkara ini kerana mungkin akan dapat membantu rakan-rakan atau ahli keluarga.
Tekanan hidup adalah antara faktor utama yang diakui menjadi punca. Misalnya, tekanan akademik bagi pelajar, tekanan kewangan bagi golongan dewasa dan tekanan sosial yang tidak kelihatan tetapi mencengkam kuat dalam kalangan belia.
Faktor kedua ialah trauma iaitu pengalaman silam yang tidak selesai, seperti penderaan, kehilangan orang tersayang atau keganasan rumah tangga. Parut emosi yang tidak sembuh akan menjadi luka batin yang membunuh dalam diam.
Seterusnya, kita tidak boleh menafikan peranan keturunan. Sejarah kemurungan dalam keluarga sering menjadi pencetus, terutamanya apabila digabungkan dengan faktor persekitaran. Maka, aspek ini juga perlu diberi perhatian khususnya dalam keluarga.
Pengaruh media sosial pula membentuk satu generasi yang obses terhadap penerimaan dan pengiktirafan maya. Perbandingan berterusan antara diri sendiri dengan kehidupan palsu yang dipaparkan di Instagram dan TikTok diakui mampu mencipta rasa rendah diri yang kronik.
Namun begitu, kemurungan bukanlah situasi yang tidak boleh diatasi. Sekadar kata-kata nasihat tentu tidak mencukupi untuk membantu seorang individu yang mengalami kemurungan.
Langkah pertama ialah mendapatkan bantuan profesional. Di negara ini, masih ramai yang memandang serong pada psikiatri atau kaunselor, sedangkan mereka adalah orang yang paling layak mendengar dan membantu individu dalam kes ini.
Langkah kedua dan mungkin cara yang paling sukar ialah berbicara atau berbual. Tentu kedengaran mudah tetapi terbukti tidak mudah dilakukan. Kita tentu sahaja akan bersedia untuk meluahkan perasaan, isi hati dan masalah kepada orang yang dipercayai.
Masalahnya, dalam kehidupan sekarang, walaupun kita boleh ada ribuan rakan di media sosial, individu yang benar-benar menjadi bahu untuk bersadar mungkin beberapa kerat sahaja. Carilah rakan sejati yang sanggup mendengar luahan perasaan dan masalah kita.
Gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah kemurungan. Tubuh yang sihat sesungguhnya membantu melahirkan minda yang sihat. Tidur yang mencukupi, bersenam secara konsisten dan pemakanan seimbang bukan mitos tetapi fakta sains.
Dalam sesetengah kes, ubat anti kemurungan terpaksa diambil dengan pemantauan doktor. Jangan rasa malu atau takut sekiranya timbul keperluan itu.
Sama seperti seorang pesakit kencing manis memerlukan insulin, individu yang mengalami kemurungan mungkin memerlukan ubat untuk menstabilkan bahan kimia dalam otak.
SOKONGAN
Sokongan sosial pula adalah ubat yang paling mujarab. Kita perlu mewujudkan ruang selamat untuk mereka yang sedang bergelut dengan masalah kemurungan.
Kadang-kadang, mereka cuma mahu seseorang mendengar segala luahan hati dan bukannya mencari pakar psikologi, apatah lagi pengkritik. Kita harus belajar untuk mampu mendengar tanpa menghukum atau menyalahkan individu itu atas apa yang berlaku.
Apa yang kita boleh lakukan sebagai ahli keluarga, rakan atau anggota masyarakat?
Pertama, kita harus hadir. Hadir bukan hanya secara fizikal tetapi dengan empati. Paling kurang, kita sedia meletak telefon bimbit ke dalam poket dan menumpukan sepenuh perhatian kepada rakan yang sedang meluahkan masalahnya.
Kedua, kita harus peka. Perubahan tingkah laku, hilang minat secara tiba-tiba atau emosi yang tidak stabil merupakan isyarat yang tidak boleh diabaikan. Jika ada tanda-tanda ini pada orang dikenali, kita harus lebih prihatin dan jangan membiarkan orang itu sendirian.
Ketiga, kita boleh mencadangkan supaya mereka mendapatkan bantuan profesional. Malah, jika boleh, menemaninya ke klinik, tolong carikan kaunselor yang sesuai atau sekadar menjadi rakan yang memahami situasi.
Keempat, elakkan stigma. Jangan sesekali meletakkan label negatif seperti ‘orang gila’ kepada individu yang memerlukan bantuan kesihatan mental.
Dalam pada itu, kita perlu sentiasa berkomunikasi dengan individu itu sama ada menerusi panggilan telefon, mesej pendek, kunjungan atau melepak bersama-sama.
Langkah-langkah kecil seperti ini mungkin boleh menyelamatkan hidup dan masa hadapan seseorang.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










