Kita jumpa lagi di mahkamah’

‘Kita jumpa lagi di mahkamah’

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), nampaknya ia tidak berakhir dengan ‘aman’.

Hanya seketika menyambut kegembiraan sebelum pihak pendakwaan berhasrat membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, pada hari yang sama.

Berkata kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, tiada apa yang perlu digentarkan kerana percaya institusi kehakiman akan menilai setiap kes dengan adil berdasarkan fakta. Malah penghakiman bertulis merupakan bukti nyata yang dirinya tidak bersalah.

Dalam wawancara yang turut disertai jurufoto, AMIR KHALID dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI, beliau menyatakan akan terus melalui proses keadilan secara berprinsip untuk membersihkan namanya yang telah tercalar selama lima tahun ini.

Selain bercerita tentang kes mahkamah, politik, perancangan akan datang, beliau juga mengulas tentang fenomena Bass yang berterusan menjadi perbualan ramai.

 


 

KEKAL PERCAYA INSTITUSI KEHAKIMAN

Sudah lima tahun saya dihakimi rakyat, pihak pendakwa raya dan penyiasat. Bukan sahaja disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Malaysia) tetapi PDRM (Polis Diraja Malaysia), RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) mencari salah saya.

Saya bermuhasabah, memilih jalan untuk lawan, tidak berdiam diri, tidak ‘check-in’ hospital untuk melewatkan kes atau memohon gugurkan kes.

Tidak juga menggunakan jalan diplomasi politik dengan mudah untuk keluarkan diri daripada proses kehakiman.Saya berani melakukan perkara tersebut kerana, sebagai anak muda yang cintakan negara, saya menaruh kepercayaan kepada institusi kehakiman yang menjadi benteng terakhir rakyat. Jika terdapat kesilapan, masih ada ruang untuk proses rayuan, dan akhirnya kes akan dinilai berdasarkan merit serta fakta dipertimbangkan para hakim.

Memang terhutang budi kepada institusi kehakiman dan ketiga-tiga hakim yang mengatakan saya tidak salah. Bagi rakyat yang mungkin tidak faham boleh membaca penghakiman bertulis, dikeluarkan pada hari sama.

Penghakiman bertulis penting supaya orang faham. Sebab itu, jika pihak SPRM, pendakwa raya atau kerajaan tidak yakin (boleh rujuk) penghakiman bertulis yang sangat terperinci. Melalui ini, rakyat boleh menilai tindakan itu betul atau tidak dan untuk proses mahkamah menilai.

(Untuk rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan) kita jumpa lagi di mahkamah. Saya masih meletakkan kepercayaan kepada institusi pengadilan negara. Insya-Allah akan menang juga.

Jika penghakiman bertulis yang sangat terperinci pun tidak cukup meyakinkan pihak kerajaan, (maka) biarlah kita meneruskan di mahkamah.

Buat masa ini ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan secara konsensus membersihkan nama dan membuktikan integriti saya. Saya berpegang pada itu.

PENDAKWAAN BERMOTIF?

Walaupun berada di pihak berbeza, saya tetap menghormati institusi peguam negara. Sebab itu, saya masih boleh bersalaman, jumpa di mahkamah.

Keadilan bukan sekadar di peringkat institusi kehakiman tetapi institusi peguam negara. Saya berharap dan berdoa supaya mereka diberikan hidayah untuk lihat sendiri fakta berkenaan kes ini.

Tanpa melihat dari lensa politik kepartian, insya-Allah, saya yakin sesiapa yang meneliti hujahan ketiga-tiga hakim akan dapat melihat yang saya tidak berada di pihak yang salah.

Saya tidak berhujah di luar mahkamah kecuali dibenarkan. Dan sekarang dibenarkan berasaskan 68 buku surat penghakiman bertulis yang dikeluarkan.

Dalam penghakiman bertulis itu menyatakan unsur tekanan yang sangat mendalam kepada saksi-saksi yang dikemukakan supaya mereka keluarkan fakta-fakta bertentangan. Sebagai contoh, saksi utama tertekan dan perlu buat panggilan kepada isteri sambil disiasat SPRM. Ada pula saksi utama wanita yang apabila dalam proses siasatan diherdik, dibaling telefon dan diugut kemudian diminta berdiri satu kaki selama 30 minit.

Ada pula saksi di dalam mahkamah menyatakan diugut SPRM dan sebab kerana takut, dia tipu dan kenakan saya. Ini semua berlaku dan dibentangkan dalam penghakiman bertulis.

Pada peringkat itu banyak saya ingin katakan kepada media. Saya lihat sendiri apa yang berlaku termasuk sesi soal balas antara peguam dengan pendakwa raya.

Sehari sebelum dituduh SPRM, pegawai penyiasat datang, kata ini adalah peluang terakhir dan meminta saya tanda tangan SD (akaun bersumpah berkanun, Statutory Declaration). Ia untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. Mungkin kalau lakukan perkara tersebut, tidak berlaku dakwaan.

Kalau di negara lain, bukan saya yang akan disiasat malah sebaliknya. Kes seperti itu langsung tidak dibawa ke mahkamah. Tetapi di Malaysia, saya sendiri tidak faham kenapa ia berlaku. Bukti rakaman suara juga dibentangkan di mahkamah.

TIDAK BERDENDAM

Saya kongsikan semua ini bukan kerana ingin balas dendam atau marah. Saya mahu teruskan kehidupan. Cuma harapan saya, musuh politik paling jahat saya pun tidak akan diletakkan dalam kedudukan ini.

Dalam tempoh lima tahun ini integriti saya tercalar walaupun tidak melakukan kesalahan. Saya ingin pastikan perkara ini tidak dilalui oleh siapapun. Saya dan keluarga sudah maafkan mereka. Harapan saya supaya mereka yang masih simpan rasa dendam diberikan hidayah.

RENCAM YANG SEBATI DALAM POLITIK

Sebab itu, dalam kesediaan menghadapi dunia politik, saya percaya tanpa kekuatan moral dan semangat perjuangan yang kental, kita mudah digoyahkan oleh sogokan atau ugutan.

Saya hanya sekadar ‘kenderaan kecil’ yang walaupun diugut, disogok, tetap mara ke hadapan kerana cintakan negara ini. Alhamdulillah, saya terhutang budi kepada para hakim dan rakyat yang sentiasa memberikan dorongan serta sokongan. Pada masa sama, saya menerima ujian daripada Allah SWT ini dengan baik.

Sedikit sebanyak pengalaman ini mematangkan saya berkenaan situasi politik negara dan memberikan kekuatan moral yang lebih kuat untuk mengubah nasib rakyat.

PASTIKAN INSTITUSI NEGARA BEBAS

Resepi utama untuk sesebuah negara maju dengan memastikan institusi-institusi negara bebas daripada campur tangan mendalam politik yang akhirnya menjatuhkan kredibiliti.

Contoh, negara ini perlu ada akta pendanaan politik. Jika tidak, perkara ni akan berlaku berulang kali, tidak kiralah siapa perdana menteri.

Kedua, perlu pastikan pelantikan-pelantikan jawatan utama melalui jawatankuasa yang kredibiliti tanpa campur tangan daripada pemimpin politik.

Jika pemimpin pada hari ini ‘pergi’, pemimpin akan datang pun besar kemungkinan melakukan perkara sama. Sebagai contoh, sebelum ni ada usaha untuk ‘mengeluarkan’ pegawai tertinggi SPRM. Itu bukan apa keutamaan saya.

Keutamaan saya untuk memastikan jika mahu ‘renew’ pun orang itu, ia perlu melalui jawatankuasa pilihan khas di Parlimen.

Begitu juga institusi kehakiman, kita sudah pun mempunyai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Sebelum ini perdana menteri kata JAC perlu diperkukuhkan agar bebas daripada campur tangan politik. Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya institusi diraja sebagai tiang seri negara.

Ada cadangan daripada seorang kerabat tentang proses lantikan hakim melalui beberapa wakil JAC seperti ketua hakim mahkamah rayuan, hakim mahkamah tinggi dan beberapa hakim tertinggi, wakil peguam negara dan lima lantikan oleh perdana menteri.

Ada pula cadangan daripada institusi diraja supaya lantikan perdana menteri diketepikan, dalam masa sama boleh diberikan kepada badan peguam negara di Sabah, Sarawak ataupun mereka yang berpengaruh dalam institusi keadilan supaya akhirnya proses lantikan itu adil berdasarkan merit. Inilah reformasi yang bermakna.

Pun begitu, sangat penting untuk yakinkan rakyat yang institusi kehakiman itu sangat tinggi. Jika tidak, orang akan pertikaikan walaupun ia keputusan yang betul.

 

LIMA TAHUN YANG MENCABAR

Dalam proses mengabdikan diri untuk berjuang kepada negara, kita perlu memahami kadang-kadang akan ada jatuh bangunnya, kita akan diuji dan Allah tidak akan menguji seseorang itu selagi dia boleh melepasi ujian tersebut.

Walaupun sukar, sakit, mungkin orang tidak faham apa yang dilalui saya dan keluarga. Banyak kita tidak tunjuk terutama ketika proses siasatan yang sangat lama sebelum masuk mahkamah. Banyak kali kes ditangguhkan tetapi bukan oleh saya.

Apabila ada tawaran saya tolak. Saya kata, mahu lawan. Saya tidak takut kerana ini ujian daripada Allah dan saya perlu lepasi ujian ini.

Saya letakkan percayaan kepada Allah. Jangan takut berdepan pengorbanan yang boleh membawa perubahan lebih bermakna dan besar pada masa hadapan.

PIMPIN KEMBALI MUDA? BERI RUANG BERSAMA KELUARGA DAHULU

Minggu lepas, sebaik sahaja dibebaskan sepenuhnya, pimpinan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) adakan mesyuarat membincangkan masa hadapan parti dan kedudukan saya. Keputusan untuk meletak jawatan sebelum ini dibuat kerana saya percaya untuk memimpin negara, kita perlu menjadi lebih putih daripada putih. Kerana itu, kita perlu meletakkan prasyarat atau piawaian yang sangat tinggi untuk seseorang itu diberikan mandat oleh rakyat. Jika menormalisasikan perkara-perkara seperti masalah integriti, akhirnya menghancurkan sebuah negara.

Saya tetap setia kepada MUDA cuma mohon sedikit ruang dan masa kerana ingin meluangkan lebih masa dengan keluarga dan fokus di Parlimen Muar, kemudian baru berikan jawapan rasmi kepada parti.

 

MUDA ‘SURAM’ TANPA SYED SADDIQ

Dalam bab strategi, perancangan masa pendek atau panjang semua akan dibincangkan secara dalaman dengan pimpinan parti. Saya juga faham tidak mudah untuk mana-mana pemimpin mengepalai parti politik dalam situasi seperti ini. Sebab itu dalam perancangan bagi dua hingga tiga tahun akan datang, untuk berhadapan pilihan raya, kita rancang strategi secara bersama.

Bukan mudah untuk MUDA sebagai parti baharu. MUDA ditubuhkan tanpa sokongan golongan jutawan. Kita buat kutipan dana awam untuk bertanding, jika lihat bendera, poster dan sepanduk tidak banyak.

Saya faham tidak mudah untuk meletakkan tanggungjawab besar di atas bahu Amira Aisya Abd. Aziz sebagai pemangku presiden.

BERITA BAIK UNTUK PERUNTUKAN

Seperti semua tahu saya merupakan ahli pembangkang tunggal yang sudah berkali-kali berurusan dengan pihak kerajaan. Mereka meletakkan syarat supaya berunding. Perundingan, perjumpaan sudah berlaku berkali-kali, begitu juga surat menyurat. Insya-Allah akan ada perkembangan yang baik. Saya menerima jawapan yang sangat baik minggu lalu, cuma saya akan mengutus surat kepada timbalan perdana menteri dan perdana menteri berkenaan perincian perbelanjaan serta dana yang diperuntukkan.

SISTEM KITA SUDAH ROSAK

Saya paling konsisten mengatakan peruntukan Parlimen ini perlu adil dan saksama bagi semua, tidak kisah sama ada menyokong kerjaan atau pembangkang.

Negara lain yang kurang maju daripada kita pun perkara asas (peruntukan) ada. Orang faham ahli Parlimen perlu berkhidmat tanpa mengikut warna politik kepartian dan pada masa sama dapat mengeluarkan elemen politik wang.

Bayangkan impaknya jika ahli Parlimen pembangkang tiada dana, mungkin mereka bergantung harap kepada seorang jutawan. Apabila menjadi kerajaan nanti mereka akan berhutang budi akhirnya disitulah permulaan politik wang walhal permulaannya bermula dengan niat baik untuk mencari dana demi kebajikan rakyat.

Sebab itu kita perlu ubah sistem lapuk dan rosak ini. Saya pernah cadangkan di Parlimen tentang Akta Pendanaan Parlimen yang khusus supaya tidak kira sesiapa pun selepas ini menjadi perdana menteri dapat memperuntukkan dana Parlimen yang sama dan adil.

Ini bagi mengelakkan lompat parti untuk mendapatkan peruntukan RM20 juta, itu belum lagi tawaran jawatan di GLC (syarikat berkaitan kerajaan), pencen dan sebagainya.

Kerana itu saya tidak bergantung kepada jutawan, sebaliknya lakukan kutipan dana awam secara terbuka. Saya juga umumkan kerjasama dengan syarikat pengauditan, Ernst & Young untuk pastikan dapat perbaiki sistem laporan.

Bukan itu sahaja, duit yang diterima melalui kerjasama beberapa produk dari dalam dan luar disalurkan kepada Pusat Khidmat Parlimen Muar.

Dalam tempoh enam bulan, saya berjaya memperoleh RM2 juta hasil menjadi model bagi jenama fesyen tempatan, sebelum itu sebanyak RM1.3 juta. Selain itu, terdapat tambahan sebanyak RM100,000.

Melalui jenama produk makanan tambahan pula, saya menerima sebanyak RM25,000 dan tambahan lagi RM30,000.

Saya juga baru sahaja menandatangani kontrak bernilai enam angka, namun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana terikat dengan Perjanjian Tanpa Pendedahan (NDA). Apa yang boleh dikongsikan setiap sen akan disalurkan ke Pusat Khidmat Parlimen Muar.

TIDAK PEDULI DIKETAWAKAN

Ketika ini saya menerima 10 tajaan tetapi perlu menyanyi, menari dan ada penggambaran. Ada orang ketawa dan kata saya tidak boleh bernyanyi dan menari, tidak mengapalah. Walaupun diketawakan tetapi rakyat Muar dapat bantuan seperti komputer riba, kerusi roda dan susu formula bagi warga emas.

Inilah perkara yang pengubah dasar tidak lihat apabila menarik peruntukan. RM2 juta yang diterima digunakan untuk membantu rakyat, sedangkan saya mempunyai pilihan untuk menyimpan wang tersebut di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad). Melalui ini, saya boleh dapat lima hingga tujuh peratus dividen tetapi memilih untuk mengabdikan diri dengan membantu rakyat.

Mungkin orang kata ada ahli politik self-made (berjaya atas diri sendiri) tetapi bukan saya. Saya ‘dilahirkan’ atas didikan ibu yang sentiasa meletakkan keutamaan kepada pendidikan, jangan malas, harus kuat bekerja, jangan takut berhadapan risiko, lawan apabila diugut. Saya tidak akan lupa didikan ini daripada ibu ayah.

 

BERGABUNG BERSAMA RAFIZI, KHAIRY

Cadangan ini (tubuh parti baharu) termasuk untuk ambil alih semula jawatan presiden MUDA, saya minta berikan masa. Saya tiada masalah dengan Datuk Seri Rafizi Ramli atau Khairy Jamaluddin.

Kami sudah berjumpa banyak kali, namun bukan dalam masa terdekat ini. Ketika ini biarlah saya fokus uruskan kehidupan peribadi dan berkhidmat untuk Muar, masih awal untuk memberi jawapan bagi perancangan politik.

 

 

 


 

Kisah ‘Bass’, biarlah kekal peribadi

 

BELLA WANITA LUAR BIASA

Hal ini melibatkan ramai pihak, bukan sahaja saya, pasangan dan keluarga besar. Tidak baik untuk saya bicarakan secara terbuka tanpa kebenaran. Ia adalah kehidupan peribadi.

Apa yang boleh saya katakan Bella memang wanita luar biasa, ibu yang mantap, baik, prihatin pada nasib anak-anaknya dan seorang yang bekerja keras. Sebab itu saya panggil dia iron lady (wanita luar biasa).

 

TIADA GIMIK FENOMENA BASS

Setakat ini semua dapat melihat saya tiada bakat lakonan. Jadi, apa yang anda lihat di media sosial itu adalah diri saya.

Saya tetap berterima kasih kepada Bella kerana sedikit sebanyak atas usaha dia, dapat juga saya memantapkan kerja di Muar.

TERIMA ‘UGUTAN’ JIKA TIDAK BERKAHWIN DENGAN BELLA

Ia adalah kehidupan peribadi dan berkait keluarganya, keluarga saya. Jadi, dalam proses ini hormatilah privasi apabila melibatkan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×